Entah kenapa saya rasa sangat tak tenteram bila baca berita berita dan perkembangan semasa sekarang ini. Sakit hati bila merasakan orang yang berkuasa dan berduit boleh buat apa sahaja. Bila tengok kes melibatkan Pengarah AKPS pun rasa macam pelik pulak.
Zaman sekarang dah nampak zaman strawberry. Bukan bab pegawai dikasari. Tapi mungkin lebih dari itu. Apa yang berlaku di belakangnya yang kita semua tak tahu. Kalau orang biasa macam kita, mampu bersabar dan balik solat dan berdoa sahaja. Tak mampu nak bayar yuran peguam.
Begitu juga kes yang viral baru baru ini, berkaitan syarikat agen kutipan yang gagal menyerahkan RM200 juta kutipan berkaitan dengan JPJ di MYEP. Walaupun diviral tapi tiada apa apa tindakan pun setakat ini. Semua pihak yang patut bersuara, semua mendiamkan diri. SPRM pun tidak laju membuat apa apa kenyataan seperti biasa. Sejak bila JPJ ada agen kutipan. Bagaimana syarikat tersebut dilantik? Ada tender terbuka ke? Semua kita tak tahu. Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
Atau mungkin kah kerana apa ada di belakang syarikat tersebut. Atau siapa ada di belakang dan belakang syarikat tersebut. Inilah hakikat duniawi. Rakyat macam kita, bekerja sahaja lah. Cukup bulan dapat gaji. Kita tak ada kabel. Allah selamatkan kita dengan jalan cerita sebegini. Bergerak sendiri tanpa kabel. Sampai masa, kita semua akan pergi. Tapi penyelewengan melibatkan amanah sebagai rakyat, saya tidak halalkan. OK kita masuk pula bab masakan.
Saya dah lama tak memasak kari ikan. Setahun di London, memang tak langsung masak kari ikan. Hari ini bila ada ikan tenggiri dalam peti beku, terfikir juga samada nak masak lemak, masak asam pedas atau masak kari. Masak singgang pun sedap tapi di rumah ini tak ada peminat ikan singgang. Tapi bila fikir balik, ok lah masak kari.
Masak kari kena ada rasa masam dan masin. Macam ala ala kari mamak. Baru sedap dicicah dengan roti atau roti canai. Lagi satu kalau ikan masak kari, kurang sikit rasa ikan yang kadang kadang ramai orang tak suka. Termasuk saya sendiri.
Kalau ikan mesti digoreng, baru saya berselera makan. Atau ikan direbus dulu dan dibuat gulai macam di Kelantan. Tapi kalau ikan tenggiri tak sesuai direbus. Boleh dilumur garam dan biarkan sebelum dimasak gulai lemak.
Ikan tenggiri ada beberapa jenis. Ada tenggiri batang yang lebih bulat badannya. Yang ini pula badannya lebih leper.
Alhamdulillah kerana kari saya hari ini sedap dan kena dengan tekak. Kalau ada roti canai, memang ngam. Cuma kuah kurang cantik bila guna santan kotak. Nak cantik kena guna santan segar.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….
Kari Ikan Tenggiri
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ekor ikan tenggiri bunga
1 sudu kecil halba campur
1 pelepah daun kari
2 ½ sudu besar rempah kari ikan
Serbuk cili
1 kotak santan kotak
Garam
1 sudu kecil pes asam jawa
Minyak masak
Bahan hiris:
6 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci halia
Cara cara:
Panaskan minyak dan masukkan halba canpur dan bahan hiris. Tumis sehingga sedikir keperangan.
Masukkan serbuk kari dan serbuk cili. Kacau rata dan masukkan air. Kacau sehingga terbit minyak.
Masukkan garam dan pes asam jawa.
Masukkan santan dan kacau rata. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga terbit minyak.
Setelah mendidih, masukkan ikan.
Masukkan sayuran yang disukai. Setelah sayuran separuh masak, boleh perlahankan api. Renih seketika dan tutup api.






Ulasan
Catat Ulasan