Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Kari Ayam Kampung Muda Dan Bab Ketaksuban

Azie 05/10/2026 Catat Ulasan



Sejak ada Threads ni saya melihat perangai seseorang jadi macam tak terkawal. Asal sahaja tak setuju dengan pendapat dan komen orang, akan terus dibalas dengan kasar. Penggunaan bahasa bodoh, babi, sial gila tu biasa jer. 

Lagi pelik bila melihat ramai Melayu, Islam dan lebih lebih lagi wanita Melayu pulak tu yang menulis macam tu. Tak tahu lah kalau kena kejutan Threads ke sehingga semua orang merasa “entitled” untuk menulis apa sahaja. 

Belum lagi yang menulis “dia berhak bahagia”. Sejak bila pula kita sebagai manusia ni ada hak walaupun atas diri sendiri. Hidup bahagia kaya raya adalah rezeki dan bahagian masing masing yang ditentukan Allah. Bukan kita berhak bahagia. Kalau macam tu, boleh lah juga kita berhak kaya. Tapi kenapa ada yang kaya dan ada yang miskin. Stop lah guna dia “berhak” bahagia. 

Selain bahasa, satu lagi bab ketaksuban pada artis. Ramai wanita Melayu yang saya rasa adalah kalangan isteri dan mungkin ibu yang dah kurang sifat malu. Melihat sesuatu yang terang terangan yang berdosa dan dilarang pun, beramai ramai memuji. Aduhai ternampak sangat gelenyar. 

Serious zaman dulu saya minat lah artis artis ni. Zaman saya usia belasan tahun. Yang saya minat adalah perempuan. Zaman tu Uji Rashid. Kalau artis lelaki saya hanya minat lagu mereka sahaja contoh Suhaimi Mior Hassan, Dato Jamal Abdillah, Alleycats. Bukan pada “orang” nya tapi pada lagu lagu sahaja. 

Dah berusia ni, saya tak ada minat mana mana artis pun. Saya kalau tengok posting yang kebetulan lalu di akaun saya tu kerana saya melihat fesyen pakaian mereka, handbag yang mereka bawa kereta yang mereka pandu atau masakan mereka. Contoh Datin Atikah Suhaimi. Tidak lebih dari itu. 

Jadi nasihat saya, tak payah lah jadi terpaling “fan” sangat apalagi pada yang berlawanan jantina. Jaga maruah dan jaga kelakuan. Tak payah nak obsessed sangat. Yang bangga sangat dengan diri yang masih muda tu, ingatlah yang muda akan menjadi tua. Yang hidup akan mati. Kadang tak sempat tua, mati dulu dari orang tua. 

Jangan sia siakan usia muda dengan mencari gaduh dengan orang yang membuat teguran atas artis yang dipuja. Orang menegur kerana mungkin artis tu ada yang tak kena samada dah terlalu gelenyar yang memalukan atau sengaja menayang lurah lurah atas paha tu yang memang terang terangan berdosa. OK setakat ini dahulu. Sekarang kita masuk pula bab masakan. 



Saya beli 1 ekor ayam kampung muda yang dah siap dibersihkan. Tinggal basuh sikit sikit dan boleh masak. Nak masak kari ni, kalau nak nampak cantik dan sedap memang kena guna santan segar. Kalau guna santan kotak tak jadi cantik. 

Bila dah masak kari ni, teringatlah nasi berlauk pagi Kelantan. Selain gulai ikan Ayo, gulai ayam juga adalah lauk utama yang digunakan sebagai lauk nasi berlauk. Wajib ada dalam nasi berlauk ialah sambal dan hirisan timun. Tapi saya tak ada stock timun. 


Kalau nak rasa macam nasi berlauk, kena bungkus nasi ke dalam kertas pembungkus, tuang kari ayam dan masukkan sambal. Bungkus dan biarkan seketika sebelum dimakan bagi memastikan nasi sedikit kembang dan meresap dengan kuah. Inilah baru nasi berlauk. Itu yang tak faham, yang orang jual nasi berlauk bungkus dari Kelantan tu, mana sedap. Nasi dah sejuk keras. Kuah pulak tak dimasukkan dalam nasi. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….


Kari Ayam Kampung Muda 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam kampung muda
500 gram santan segar
2 ½ sudu besar serbuk kari ayam
Sedikit serbuk cili
Kayu manis, bunga lawang
1 sudu kecil pes asam jawa
½ keping gula Melaka
1 sudu besar kerisik
Gula secukupnya
Garam secukupnya
Minyak masak

Bahan hiris:
6-8 biji bawang merah 
4-5 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang hiris dan rempah sekawan sehingga bawang keperangan. 

Masukkan serbuk cili dan serbuk kari. Kacau rata dengan cepat dan tuang sedikit air supaya tidak hangus. Tumis sehingga terbit minyak. 

Masukkan air dan tumis sekali lagi sehingga bahan tumis terbit minyak bagi memastikan rempah kari betul betul garing. 

Masukkan gula Melaka, garam dan pes asam Jawa. Tumis lagi. 

Masukkan ayam dan kacau rata. Biarkan ayam sebati dengan bahan tumis. Masukkan sedikit air dan biarka mendidih dan ayam masak. 

Masukkan santan segar dan masak sehingga mendidih. 

Masukkan kerisik dan tambah apa apa perasa yang belum cukup. Setelah terbit minyak cantik, boleh tutup api. 



Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan