Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Mee Talam Pasar Jelawat Dan Masakan Lama

Azie 08/09/2026 Catat Ulasan


Bagi generasi macam saya, yang biasa makan masakan lama yang dah sebati dengan selera, pasti dapat membezakan dengan masakan sekarang. Masa saya balik ke Kelantan minggu lepas, saya rasa sangat susah untuk mencari makanan Kelantan yang sedap. Apa lagi nak cari yang mudah. 

Seketul kecil kerutuk itik serati pun berharga RM9.00, ayam kampung goreng pulak RM7.00. Nasi kerabu pun dah short cut. Nasi kerabu Kelantan guna kubis dan karot. Kubis tu boleh diterima lagi. Tapi karot? Sambal kelapa pula kering, tanpa isi ikan. Serious lah sedih. 

Nasi dagang pun sama, gulai ikan tongkolnya memang tak sedap. Nak kata gulai Terengganu pun tidak, gulai Kelantan pun tidak. Cuma nasinya masih ada aroma nasi dagang. Bukan macam nasi dagang yang tidak bau dan rasa nasi dagang langsung. 

Cuma sepanjang di sana, ayam percik jer yang tekak saya masih boleh terima dan anggap sebagai lulus. Saya masih boleh meratah begitu sahaja. Saya beli lagi untuk dibawa balik. Bila orang lama seperti saya dah tak ada, orang muda tak tahu rasa masakan dulu dulu. Jadi mungkin mereka boleh terima. Ok lah sekarang kita masuk pula bab masakan. 


Masa dalam perjalanan balik ke Bachok, saya singgah di pasar Jelawat yang lama untuk mencari sarapan. Tapi sayang gerai yang dulu ada menjual nasi campur dengan pelbagai lauk pauk macam kerutuk itik serati dah tak ada. 

Ada gerai lain yang menjual nasi campur tapi tengokkan masakannya tak sama dengan gerai yang saya biasa makan dulu. Kalau dulu, tengok masakannya macam semua sedap jer. 

Saya kemudian berjalan masuk ke dalam pasar untuk mencari mee talam. Memang saya tahu Mok Doh, mak cik yang menjual mee talam dah lama meninggal. Tapi saya nak cari kot ada orang lain yang menjual mee yang seumpama itu. Hmm tapi kecewa sebab semuanya tak ada yang jual mee talam. 

Semasa di situ, saya bersembang dengan seorang kakak di tempat yang mak cik menjual mee talam. Masa tu, baru lah tahu yang dia adalah anak makcik. Tapi dia menjual laksam. Katanya tiada seorang pun anak makcik yang mahu menjual mee talam. 

Jadi alang alang dah bertemu anaknya, saya menanyakan resipi dan cara penyediaannya. Tapi biasalah resipi orang dulu, semua main agak agak. Katanya kalau buat 6 kilo mee kuning, guna 1 kilo bawang merah. Kicap dan gula pula agak agak sesuai rasa. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Saya kena beberapa kali lagi mencuba untuk mendapat rasa yang hasil sama. Selamat mencuba…


Mee Talam Pasar Jelawat
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
450 gram mee kuning
Sayur kangkung 
2 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam

Bahan tumbuk:
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga keperangan. Masukkan batang kangkung dan kacau rata.  



Masukkan kicap, gula dan garam. Kacau rata. 

Masukkan mee kuning dan kacau rata. Tambah kicap jika belum cukup warna yang disukai. 

Akhir sekali, masukkan daun kangkung. Kacau rata sehingga semua sebati. Boleh tutup api. 




Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan