Saya memang merasa sangat sakit hati dengan kenaikan bil elektrik yang melampau yang dibuat secara tidak telus di bawah kerajaan PMX ini. Bila tengok video lama Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, berdegar degar nak menurunkan kadar bil elektrik, konon dalam masa 2 minggu akan diadakan meeting dsb.
Tapi itu lah, PMX ni tak macam Anwar Ibrahim, senyap jer tanpa memberi apa apa penjelasan pada rakyat yang tertanya tanya. Seperti orang bodoh pun ya. Call TNB suruh datang check meter kot ada kerosakan pada meter dsb. Rupanya ada benda yang kita tidak tahu…
Saya pun tak tahu kenapa bil elektrik rumah kami sangat tinggi sebelum ini. Guna elektrik pun dengan sangat berjimat cermat. Ada rumah jiran yang buka aircond 24 jam pun, bil jauh jauh jauh lebih rendah dari kami. Bil elektrik rumah kami lebih dari RM2000 setiap bulan dan sangat membebankan.
Jadi anak anak sepakat untuk memasang solar dengan kos hampir RM70,000. Alhamdulillah bil berjaya dikurangkan ke RM400.00. Tapi tak sampai pun setahun, bil kembali melambung dengan tindakan kerajaan yang mengubah kadar tariff (saya agak sahaja) sehingga semua rakyat terkesan.
Elektrik ini satu keperluan. Kita tak ada pilihan. Ada orang kongsikan dengan penggunaan yang sama, bil sebelum ini RM200 telah naik sehingga ke RM500. Ini memang gila. Bukan sikit sikit naik. Jadi kalau perkara ini memberikan kesan dan membebankan, bukan kah perlu kerajaan PMX memberikan penjelasan di sebalik kenaikan ini.
Walau bagaimana pun, saya tetap bertegas bahawa pemimpin atau pihak yang tidak amanah dan tidak menjalankan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, nantikan masa nya di akhirat kelak. Anda akan dipertanggungjawabkan. Anda perlu menjawab kerana anda dibayar gaji dan pelbagai kemewahan sebagai pemimpin di dunia ini.
Di zaman sahabat dahulu, semua orang takut untuk menjadi pemimpin kerana takut akan azab menanti atas kegagalan kepimpinannya atau mungkin kezaliman. Tapi akhir zaman ini, semua berlumba lumba dek habuan dunia. Tunggu lah. Saya memang tak akan melepaskan anda. OK sekarang kita masuk pula bab masakan.
Saya menyediakan sarapan mee hoon goreng putih untuk pagi hari Malaysia. Saya tak panggil ini sebagai Mee Hoon Singapura kerana saya pernah belajar Mee Hoon Singapura kena ada Sauce Lea & Perrins dan sayuran pula kena ada cendawan telinga kera. Boleh tengok resipi sebelum ini di SINI.
Mee hoon goreng putih ini ada pelbagai versi. Ikut lah citarasa masing masing. Kalau saya, memang akan menyediakan resipi yang paling ringkas bahan bahannya tetapi sedap. Yang boleh tiada, tak payah letak.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….
Mee Hoon Goreng Putih
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 pek mee hoon - rendam air sejuk selama 10 minit dan tos
2-3 biji telur
1 mangkuk daging - atau protein disukai
Fish cake - jika suka
Karot
1 biji buah tomato
¾ cawan minyak masak
Bahan Tumbuk:
5-6 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
Segenggam ikan bilis
Bahan perasa:
1 sudu kecil serbuk lada hitam
2 sudu besar sos tiram
Garam secukupnya
1 sudu besar gula - jika suka
Sos sotong - opsyenal
Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng telur dan kacau rata. Angkat dan ketepikan. Rujuk nota di bawah sekali.
Menggunakan minyak sama, tumis bahan tumbuk sehingga keperangan, masukkan daging dan goreng sehingga daging masak.
Masukkan sos tiram, serbuk lada hitam, gula dan garam. Kacau rata.
Masukkan karot dan kacau rata. Masukkan 1 mug air dan biarkan sehingga mendidih. Masukkan mee hoon yang telah direndam dan tos.
Masak sehingga terbit minyak. Tuang sos sotong jika suka.
Masukkan buah tomato dan telur goreng. Kacau rata.
Sebelum dihidangkan, tabur bawang goreng, cili merah hiris dan daun sup/daun bawang. Jika suka, hidangkan dengan sambal kicap simple. Potong cili padi dan tuang kicap. Nota: kami makan dengan keropok goreng.

Nota:
Selepas dimasukkan telur goreng, mee hoon akan sedikit lembap kerana minyak pada telur. Jadi kalau mee hoon kelihatan sedikit kering, jangan tambah minyak.
Telur digoreng asing untuk cantikkan hidangan sahaja. Jika suka, boleh juga pecahkan telur sebelum dimasukkan air. Jimat masa dan cepat.
Ulasan
Catat Ulasan