Setelah hampir seminggu saya tidak ke dapur selepas menjalani minor surgery untuk masalah trigger finger saya. Doktor menasihatkan supaya tidak terkena air. Jadi selama itu lah saya beli makanan di luar.
Tapi itu lah bila makan di luar ni, jarang kena dengan selera kita. Saya nampak ada orang tulis nasi lemak sedap di seksyen 5. Saya gigih mengajak Hubby ke sana. Beli bungkus. Bila melihat suasana sekitar, saya dah mula tak berselera sangat.
Bukan lah kotor tapi entah lah orang tua ni jadi cerewet lain macam. Kakak tu pula pakai baju lengan besar dan tersentuh sentuh juga lengan bajunya dalam makanan. Bila dah makan, aduhai memang tak kena dengan selera.
Sambalnya tak rasa macam sambal bila tak ada langsung rasa pedas. Tak ada rasa apa pun. Masin tak ada, manis pun tak ada. Tak tahu lah kalau deria rasa saya yang tak kena. Akhirnya makan sikit, terus lah tinggal. Membazir pulak. Beli bukan murah dengan lauk ayam yang sangat kecil dan telur mata. Harga RM6.50. Ayamnya 3 kali cubit jer isinya.
Hari ini pun lama berfikir nak makan apa, nak order kat mana. Semua tak ada rasa berselera. Akhirnya saya ke dapur dan memasak dengan menggunakan sebelah tangan yang memegang benda yang perlu dibasuh.
Saya hari ini menyediakan mee hoon goreng yang saya suka dan kena dengan tekak saya. Bila dah berusia ni, selera makan jadi berubah. Mee hoon ini tidak berapa pedas. Jadi kalau suka pedas, boleh lebihkan cili kering kisar atau masukkan beberapa biji cili padi di dalam bahan kisar.
Saya dah cuba banyak resipi. Resipi mee hoon goreng bila diletak gula, memang sedap dan rasanya berbeza dengan mee hoon yang tidak diletak gula. Kalau tak suka manis, letak lah sedikit sahaja. Tapi saya guna 3 sudu besar pun tak rasa manis sekadar seimbang rasa jer.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…
Mee Hoon Goreng Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
350 gram mee hoon
4 sudu besar sos cili
2 sudu kecil garam
3-4 sudu besar gula
Daging/ayam atau yang disukai
Sayuran disukai - bok choi
2 biji telur
Cili merah - hiris
Daun bawang - hiris
Bawang goreng
½ cawan minyak masak
½ mug air
Bahan kisar:
2 genggam bawang putih
2 genggam ikan bilis
2 jemput cili kering rendam - 2 sb cili kisar
Cara cara:
Panaskan minyak dan masukkan bahan kisar. Tumis seketika.
Masukkan daging dan tumis sehingga bahan tumis garing dan terbit minyak. Masukkan air jika perlu untuk empukkan daging.
Masukkan sos cili, garam dan gula. Kacau rata.
Masukkan telur dan kacau rata. Masukkan air dan masak sehingga mendidih.
Masukkan mee hoon yang telah direndam dalam air sejuk selama 5 minit. Biarkan sehingga air kering dan masukkan sayuran.
Kacau rata sehingga mee hoon kelihatan terbit minyak. Tutup api.
Ketika dihidangkan, taburlah daun yang disukai dan bawang goreng.




Ulasan
Catat Ulasan