Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Masak Lemak Cili Padi Ayam Dan Tun Dr Hasmah Mohd Ali

Azie 30/09/2026 Catat Ulasan

 



Saya baru hari ini berkesempatan untuk menulis berkenaan pemergian ke rahmatullah Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali, isteri bekas Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat iaitu YAB Tun Dr Mahathir Mohamad. Allahyarham telah meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi pada hari Isnin 29 September 2026. Difahamkan pada malam sebelumnya, Allahyarham berada dalam keadaan baik dan ceria. Rezeki juga kerana meninggal dengan mudah tanpa kesakitan yang lama. 

Saya sangat mengagumi Allahyarham kerana kelembutan bicara, adab pekerti yang tinggi, suara yang lembut dan sangat humble. Ketika menjadi isteri Perdana Menteri, Tun Hasmah tidak pernah cuba menonjolkan diri dalam politik atau berlebihan dalam berpakaian. Sentiasa berbaju kurung dengan corak bunga warna warni yang lembut dan dihiasi dengan rantai mutiara. 

Saya pernah bertemu dengan Allahyarham secara dekat sebanyak 3 kali. Kali pertama di rumah Allahyarham Tan Sri Mohtar, bekas Peguam Negara. Anak Tan Sri Mohtar ialah sahabat baik saya. Ketika kami sampai, tidak ada lagi tetamu lain menziarahi jenazah. Jadi dapat lah bertemu dan menegur Tun dari dekat. 

Ketika itu, kagum melihat kelembutan wajah dan tutur bicara. Kulit mukanya pula halus mulus. Tun ketika itu, hanya seorang diri. Tidak bersama Tun Dr Mahathir. Selebihnya saya bertemu Tun di rumah jiran kami yang merupakan anak saudara Tun. Dapat lah memimpin tangan Tun berjalan keluar dan bergambar dengan Tun dan Tun Dr Mahathir. 

Saya suka melihat Tun dari zaman muda sehingga sekarang. Latarbelakang keluarga yang educated, menjadi wanita Melayu pertama menjadi seorang doktor. Mereka berkenalan ketika di universiti. Pasangan sama cantik dan sama padan. 

Kisah cinta mereka adalah sangat sweet dan kisah cinta paling agung mungkin di Malaysia dengan tempoh perkahwinan selama 70 tahun. Masing masing berumur melepasi 100 tahun dengan tiada masalah kesihatan yang serious. 

Untuk menjadi pasangan ideal seperti mereka perlu ada bak kata Tun ialah trust kerana di tempat kerja masing masing ada lelaki dan wanita. Secara directnya, jangan curang dengan pasangan. Sekali dah curang, anda gagal memenuhi kriteria untuk mengikuti jejak mereka. 

Selain itu, seorang suami mesti menjadi provider. Baru lah boleh menjadi pemimpin keluarga yang dibanggakan dan dicontohi oleh isteri dan anak cucu. Sangat beruntung seorang isteri yang disayangi oleh suami seperti mana Tun Dr Mahathir menyayangi dan mahukan isteri sentiasa ada di mana mana dia berada. 

Bila mendengar lagu Misteri Cinta yang dinyanyikan oleh Tun Dr Mahathir, saya menjadi sebak kerana betapa mereka saling menyayangi dan memerlukan antara satu sama lain. Antara liriknya ialah Kau bertanya pada ku, mengapa aku sangat mengasihi mu. 

Bayangkan lagu ini pastinya Tun Dr Mahathir ketika menyanyi mendedikasi kepada isterinya. Kita boleh lihat kesedihan Tun sepanjang menemani jenazah sehingga selesai dikebumikan. Tun menabur bunga dan menyiram air mawar di pusara walau dalam kepayahan. 

Sama sama kita doakan kesihatan Tun Dr Mahathir menjadi kembali sihat dan bersemangat. Tun hari ini dimasukkan ke IJN untuk pemantauan kesihatan kerana mungkin kepenatan menemani jenazah isterinya dari pagi sehingga ke malam. 

Buat Allahyarham Tun Dr Hasmah semoga syurga lah buat Tun kerana ketaatan pada suami dan meninggal dengan redha suami. Aamiin. Ok setakat ini dahulu, kita masuk pulak bab masakan. 



Sebenarnya siapa sahaja boleh memasak masak lemak cili padi ni. Tapi teknik yang berbeza menghasilkan rasa masakan yang berbeza. 

Hari ni saya ikut cara orang Nogori di mana ayam kena dikecutkan dulu bersama bahan kisar. Santan pula diasingkan santan pekat dan santan cair. 

Teringat dulu pernah pergi bermalam di rumah kawan yang memqng suami isteri berasal dari Nogori. Dia menyediakan masak lemak ketam. Lamanya saya melihat dia mengacau di atas dapur. Lama sangat. Bila time makan, barulah rasa sedapnya. Sampai sekarang teringat ingat kesedapannya. Kuahnya pekat dan lemak. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….


Masak Lemak Cili Padi Ayam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
½ ekor ayam
1 batang seeai - ketuk
Garam
Asam keping
Sedikit serbuk kunyit
400 gram santan segar

Bahan kisar:
1-2 inci kunyit hidup
1-2 genggam cili padi

Cara cara:
Tuang ayam dan bahan kisar ke dalam periuk. Kecutkan ayam sehingga air ayam hampir kering. 

Masukkan santan cair dan garam serta asam keping. Masukkan sedikit serbuk kunyit. Masak sehingga ayam empuk. 

Tuang santan pekat dan renih sehingga mendidih. Boleh tutup api. 


Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan