Saya menjadi sangat sedih bila melihat video yang dikongsikan oleh seorang bapa saudara kepada famili 3 beranak yang terlibat dalam kemalangan dengan lori dan bas.
Dalam video tersebut, arwah Muhammad Armaan 4 tahun menyebut bye bye Pak Su comel sebelum mereka bertolak balik dan terlibat dalam kemalangan. Dalam posting lain, dikongsikan gambar dia memegang tangan arwah dan ditulis dulu Pak su dukung Armaan sekarang angkat keranda. Masya Allah sedihnya.
Memang ajal maut jodoh pertemuan telah ditetapkan di Luh Mahfuz. Tidak dicepat dan dilewat walaupun sesaat. Bagaimana sedih pun, kita kena redha. Kita juga akan menyusul. Arwah kini pun sedang bermain main di syurga.
Belum pun habis dengan kesedihan di mana Nepal dilanda kepala air besar berikutan dari keruntuhan glasier. Dalam kejadian itu, seramai 51 orang rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan.
Dipercayai Team Loe seramai 10 orang antara yang terlibat kerana pukul 8.15 pagi mereka menghantar mesej sedang bersarapan di suatu tempat 18 km dari sempadan Nepal dan Tibet. Jadi dianggarkan mereka telah pun berada di immigresen pada pukul 9.00-9.15 pagi waktu kejadian. Mungkin sedang menjalani proses pemeriksaan di sana.
Apa pun doakan agar kesemua rakyat Malaysia yang hilang akan ditemui walau dengan apa cara sekali pun. Begitu lah takdirnya dan ketentuan hidup seorang manusia. Jadi sementara masih hidup, banyak lah berbuat kebaikan dan pahala. Bukan membuat dosa kering, contohnya memaki dan membenci orang tertentu di medsos yang berlaku pada hari ini. OK setakat ini dahulu. Kita masuk pula bab resipi dan masakan.
Saya menyediakan masak lemak daging salai stail Nogori ni kerana terkilan dan tak puashati dengan caterer yang menghantar makanan yang kami pesan di villa percutian kami di Port Dickson baru baru ini. Dalam menu ditulis masak lemak cili padi daging salai. Saya dah sangat teruja.
Tapi bila sampai hanya masak lemak daging. Atau mungkin daging yang dibakar. Serious tak ada bau salai langsung. Aroma daging bakar pun tak ada. Saya terkilan macam mana mudah mudah jer caterer ni membuat dosa.
Saya balik terus order daging salai di tiktok. Kebetulan dalam freezer ada santan segar. Dalam peti ada juga cili padi kampung yang kecil kecil tu. Di halaman rumah ada pokok ubi kayu dan ada juga pokok belimbing buloh yang sedang berbuah.
Untuk memasak stail Nogori, protin yang kita nak masak macam daging, ayam, ketam dikecutkan dulu dengan bahan kisar sehingga air kering. Kalau boleh jangan masukkan air atau sekadar air blender sahaja. Cara ini barulah kuahnya sedap.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Yourube Channel di SINI. Selamat mencuba…
Masak Lemak Cili Padi Stail Nogori
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
400 gram daging salai
500 gram santan segar
1 sudu kecil garam kasar
1 keping asam keping - jika perlu
1 mangkuk belimbing buloh - ketuk sedikit
Daun pucuk ubi - celur seketika
Bahan kisar:
1-2 genggam cili padi kampung
2 inci kunyit hidup
Cara cara:
Masukkan daging ke dalam periuk dan tuang bahan kisar. Masak sehingga air hampir kering. Nota: kalau daging, belum empuk boleh tambah air dan masak sehingga air kering.
Masukkan belimbing buloh.
Setelah daging empuk, masukkan santan cair terlebih dahulu. Nota: saya guna santan frozen, jadi saya masukkan semua sekali.
Setelah mendidih, masukkan pucuk ubi celur. Masukkan asam keping dan garam secukupnya.
Akhir sekali, masukkan santan pekat. Perlahankan api. Biarkan mendidih sekali lagi dan boleh tutup api.






Ulasan
Catat Ulasan