Alhamdulillah. Saya akan sambung lagi catatan aktiviti selepas balik dari Manchester pada 10 May 2026, di mana kami balik ke rumah sekejap untuk solat dan mengambil barang barang untuk diberi pada Dilla. Boleh klik entri sebelum ini di SINI.
Kemudian terus bertolak ke rumah Dilla kerana Dilla menjemput kami sekeluarga untuk makan makan sempena farewell kami akan berangkat balik ke Malaysia pada 15 May dan juga untuk Allyna yang akan balik pada 17 May.
Diam tak diam dah lebih setahun kami berada di England. Alhamdulillah Nana pun telah menamatkan program fellowship beliau dalam Medical Retina di Moorfields Hospital London. Kini Nana dah kembali bertugas di Hospital UiTM Puncak Alam. Jika nak jumpa dia, boleh buat appointment di private wing. Kalau appointment biasa, kita tak boleh pilih doktor yang akan merawat kita.
Dilla adalah orang pertama yang menghubungi kami dan pertama yang kami berjumpa di sini. Masih ingat lagi ketika itu kami bertemu di Canary Wharf. Dia banyak membantu kami dengan memberi pelbagai maklumat penting, Dilla juga memberikan pelbagai bahan masakan yang saya perlukan.
Maklum tak semua kedai atau pasaraya di sini ada menjual bahan masakan terutama untuk memasak masakan Malaysia. Bantuan Dilla memudahkan untuk kami. Kalau bab kuih muih, memang tak terkira. Pasti ada kiriman dari Dilla setiap kali Nana bertugas di Hospital di Stratford.
Gambar di bawah adalah kali pertama kami berkunjung ke rumah Dilla. Ada juga Dr Aizad, teman serumah Dilla. Kali pertama juga jumpa kari ikan bawal setelah sekian lama tak jumpa lauk ikan sejak di London.
Dilla memang pandai membuat pelbagai jenis kuih muih terutama kuih tradisional. Jadi selalu lah juga Dilla kirimkan kuih muih buat kami. Terutama di bulan Ramadhan. Kuih muih dia pula sangat sedap, malahan lebih sedap dari kuih muih di Malaysia.
Hari raya Aidil Adha pun kami datang beraya di rumah Dilla. Ramai lah warga Malaysia yang kami temui dan kenal di rumah Dilla. Mereka bekerja di sini. Antaranya ialah Azam, Pali, Luqman, Amir, Jai, Shauqi, Cammie, Allyna, Jaja, Nazirah dan ramai lagi. Mereka biasanya ada di majlis makan makan yang Dilla adakan. Jadi kami pun dah kenal antara satu sama lain.
Sebelum makan, kami menonton filem Hindustan Kabhi Kushi Kabhie Gham lakunan Shahrukh Khan dan Kajol. Best sebab semua macam pernah tengok dan tahu jalan ceritanya. Jadi masing masing boleh komen dan memberi pendapat.
Untuk makan makan kali ini, Dilla menyediakan masakan ala Thai dengan tomyam udang, ikan siakap kukus, daging Kaprau dan kerabu mangga. Strawberry dengan coklat juga sangat sedap sebagai pencuci mulut. Strawberry nya sangat wanis dan gemuk gemuk pula.
Makan beramai ramai lagi lah sedap. Makan sambil mengusik antara satu sama lain dan bergurau senda. Siap menambah nambah nasi lagi.
Saya melihat hubungan mereka sangat rapat, maklumlah bila di perantauan kena saling menyokong antara satu sama lain. Lain lah kalangan orang Malaysia yang dah berkeluarga di sini dengan warga British. Mereka akan membawa haluan sendiri dan sibuk dengan urusan kehidupan keluarga atau perniagaan masing masing.
Sebelum balik, kami bergambar kenangan dan semoga ukhwah berpanjangan dan berjumpa lagi di Malaysia. Aamiin.















Ulasan
Catat Ulasan