Ketika pergi staycation di Barung Tamu, Lenggeng saya memesan supaya Dr Aziz membawa cili padi kampung yang ditanam dan dijual oleh Taman komuniti Taman Klang Perdana yang kebetulan Dr Aziz adalah Pengerusinya. Harganya kalau tidak silap ialah RM5.00 untuk 200 gram. Ianya ditanam secara organik. Memang geram menengok kesegaran cili cili ini.
Cikgu Badariah mencadangkan supaya kami membuat ibu sambal menggunakan cili padi supaya lebih tahan lama. Caranya mudah sahaja. Panaskan minyak dan goreng cili padi, bawang merah dan bawang putih sehingga layu. Angkat dan masukkan ke dalam pengisar. Kisar kasar sahaja.
Kemudian masukkan semula bahan kisar ke dalam kuali tadi dan tumis sehingga terbit minyak.
Setelah itu, angkat dan sejukkan. Simpan dalam bekas bersesuaian dan simpan dalam peti ais.
Ianya sangat memudahkan kerja di dapur. Boleh digunakan untuk masak lemak cili padi, menyediakan sambal kicap. Tinggal tambah sahaja kicap, garam, gula dan perah limau kasturi.
Kalau rasa nak goreng sayuran seperti pucuk paku goreng pedas, cuma masukkan ibu sambal dan garam atau sos tiram. Kacau rata dan siap. Boleh klik entri di SINI.
Selain memudahkan kerja di dapur, ianya tahan lama. Kerana cili padi walaupun diletak dalam bekas kedap udara berlapik tisu, masih tidak tahan berbulan bulan. Jadi kalau ada stock cili padi, boleh buat ibu sambal.






Ulasan
Catat Ulasan