Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Asam Pedas Ikan Pari Dan Suasana Malam Di Kota Bharu

Azie 03/09/2026 Catat Ulasan


Saya saat menulis ini berada di Kota Bharu kerana mahu menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak buah. Cuaca di Kelantan ketika ini sangat panas. Terik membahang. Oleh kerana tiada hotel di Bachok, kami hanya menginap di hotel di Kota Bharu sahaja. 

Ini lah kali pertama saya berada di sini saat saya menjalani Intermittent Fasting. Bayangkan begitu banyak kuih muih di sini yang merupakan kegemaran saya. Terpaksa lah menahan nafsu dan keinginan untuk makan. Kuih memang manis, apa lagi kuih muih di Kelantan. Memang menyiksakan. Hahaha. 

Cuma satu perkara yang saya perasan ialah tumbuhnya banyak restoran yang menjual nasi berlauk malam. Jika dulu, sebelah malam hanya menjual masakan panas atau colek perut atau colek makanan laut. 

Kini meriah dan memberi banyak pilihan. Malam tadi hujan ribut yang sangat kuat sehingga nak keluar dari kereta pun, susah kerana angin kuat. Sebaik sahaja hujan berhenti, ramai orang mulai memenuhi restoran. Satu pemandangan baru waktu malam di KB untuk saya berbanding dengan sebelum ini. 

Mungkin dulu juga ada tapi tidak viral. Jadi kalau berkunjung ke KB, boleh pergi ke restoran nasi berlauk malam yang menjual nasi dengan pelbagai lauk pauk. Ada juga yang digoreng panas panas seperti ayam goreng dan daging belengas. OK sekarang kita masuk pula bab masakan. 



Saya memang obsessed dengan masakan asam pedas. Mungkin sebab saya tak nak permah makan lauk ni masa kecil. Arwah bonda saya tak pernah masak lauk macam ni. Lauk kami adalah simple sahaja. Gulai ikan, singgang, lauk goreng. Sesekali ada lah kari ayam atau kurma ayam. Hidup orang kampung sekadar untuk kenyang perut sahaja. 

Asal asam pedas tak kira lah Melaka atau Johor, saya memang suka. Lagi lagi asam pedas yang simple yang tak guna bahan berempah. 

Hari ini saya menyediakan 2 jenis asam pedas kerana anak request asam pedas ayam. Jadi saya masak banyak bahan tumisan dan kemudian ceduk keluar ke periuk lain untuk masak asam pedas ayam. Biasa nya asam pedas ikan lebih sedap jika kuah sedikit pekat. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….


Asam Pedas Ikan Pari Johor Style
Oleh: Azie Kitchen

Bahan kisar:
2 biji bawang merah besar 
4 ulas bawang putih
1 ½ inci halia 
1 inci kunyit hidup 
2 genggam cili kering - 7 sudu besar cili kisar

Bahan lain:
Ikan pari 
1 sudu kecil lada hitam - tak letak
½ cawan air asam jawa pekat
1-2 ikat daun kesum
1-2 kuntum bunga kantan
1 sudu kecil garam kasar atau secukupnya
3/4 cawan minyak masak

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan cili kering kisar dan tumis sampai terbit minyak. Masukkan air dan tumis sehingga terbit minyak lagi. Ulang proses ini 4-5 kali bagi memastikan bahan tumisan benar benar masak dan sedap. 

Masukkan sedikit daun kesum ketika menumis. 


Bila bahan tumis masak sempurna, baru masukkan air asam jawa dan masak sehingga mendidih. 

Masukkan ikan dan biarkan mendidih seketika. Tambah air ikut kepekatan yang disukai. 


Akhir sekali, masukkan bunga kantan dan baki daun kesum. Masukkan garam secukup rasa. 


Akhir sekali, masukkan kacang bendi dan buah tomato. Tambah air sesuai dengan kepekatan disukai. Biarkan mendidih dan boleh tutup api.



Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan