Saya bila ada masa, ada juga baca komen komen di Threads di mana saya melihat ramai lagi orang yang punya banyak masa lapang dari saya. Hahaha. Kenapa saya berkata begitu?
Sebab saya nampak mereka punya ketaksubab dan “obsession” pada seseorang itu sangat tinggi. Sehingga mereka mengambil berat pada apa semua yang berlaku sehingga kepada bab anak anak. Yang mana berlawanan, akan disumpah dan dimaki bermacam macam.
Saya pun tidak menyokong suami yang curang tapi siapa kita untuk mengambil bahagian sehingga sanggup membuat dosa dengan memaki dan mendoakan yang bukan bukan. Tolong lah sedar supaya bila menulis semuanya akan dipertanggungjawabkan.
Jika tidak setuju sekali pun, tulis lah dengan beradab. Lagi pun mereka tak kenal kita kan. Bukan apa, jangan lah kita buat seolah kita akan hidup selamanya. Ramai jer orang muda muda yang tiba tiba meninggal samada sebab kemalangan atau disebabkan serangan jantung. Boleh jer kita tidak bersetuju. Rambut sama hitam tapi lain lain kan? OK sekarang kita masuk pula bab masakan.
Saya menyediakan sambal tumis sotong kerana lauk ini adalah lauk kesukaan cucu saya, Ammar Yahya. Kalau sotong, selain masak kicap, sambal tumis lah yang akan saya masak.
Saya tak berapa suka masakan lain seperti masak lemak atau kari. Sotong goreng tepung pun ok tapi saya tak rajin nak menyediakannya kerana banyak bahan dan banyak perlu digunakan.
Cuma bila masak sotong kena pastikan ianya tidak overcooked, kerana ia menjadikan sotong menjadi liat dan keras. Masak sekejap atas api besar. Kacau kacau dah boleh tutup api. Baru sotong akan menjadi lembut dan senang digigit.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…
Sambal Tumis Sotong
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
5-6 ekor sotong - saiz besar
Segenggam cili kering
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
1 saiz ibu jari asam jawa - rendam air panas
Sebesar ibu jari gula Melaka atau secukupnya
Minyak masak
Bahan kisar:
2 biji bawang besar - saiz sederhana
4-5 ulas bawang putih
1 ibu jari halia
Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
Masukkan cili kering kisar dan kacau rata. Masukkan gula (tips untuk cepat garing) dan tumis sehingga cili masak dan terbit minyak. Masukkan air dan tumis lagi sehingga terbit minyak. Boleh ulang proses ini, beberapa kali.
Masukkan air asam Jawa dan garam. Tumis lagi.
Setelah cili benar benar garing dan terbit minyak di keliling kuali, masukkan sotong. Besarkan api dan biarkan sehingga sotong masak. Nota: jangan masak lama kerana sotong akan menjadi liat dan keras.
Boleh tutup api. Jika suka, boleh masukkan juga bawang besar hiris.
Nota:
Jika suka, boleh juga masak sotong tanpa air ke dalam kuali sehingga air sotong keluar. Tos air sotong. Air sotong boleh diguna ketika menumis sambal.
Minyak berlebihan, boleh diceduk keluar sebelum dihidangkan.






Ulasan
Catat Ulasan