Hari ini adalah Hari cuti sempena hari MaulidulRasul iaitu 12 Rabiulawal 1448 Hijrah. Alhamdulillah saya masih kuat untuk berpuasa dan berpuasa secara intermittent. Puasa Intermittent atau IF ini sebenarnya adalah puasa dari pengambilan gula dan kabohidrat di mana sepanjang tempoh berpuasa, kita masih boleh mengambil minuman teh dan kopi tanpa gula. Berbeza dengan puasa sunat di mana kita tidak boelh makan dan minum selepas waktu sahur sehingga masuk waktu berbuka.
Alhamdulillah selepas beberapa hari, rasa badan lebih ringan bila saya tidak lagi mengambil minuman bergula. Saya hanya mengambil air kosong sahaja. Kalau ikut rekod, memang ada penurunan beberapa kilo.
Penurunan berat badan adalah perlu supaya badan lebih ringan dan mudahkan pergerakan. Berat berlebihan akan memberi masalah pada lutut dan seterusnya menyukarkan untuk bersolat secara biasa.
OK setakat ini dahulu, semoga sempena cuti kelahiran baginda Rasulullah ini, kita dapat melakukan selawat sebanyak 1000 kali. Insya Allah.
Saya menyediakan rendang cili padi ayam pencen ini mengikut cara sendiri sahaja. Yang penting ianya sedap. Saya tengok resipi rendang Nogori pun ada pelbagai, ada yang letak bawang, ada yang tak letak bawang, ada yang letak rempah jintan dan ketumbar dll.
Jadi saya masak sahaja ikut citarasa sendiri. Yang penting rasanya adalah rendang, bukan kari atau masak lemak. Betul tak? Ayam pencen ini liat jadi kena rebus dulu samada secara biasa atau menggunakan periuk tekanan.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…
Rendang Cili Padi Ayam Pencen
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ekor ayam pencen
200 gram santan segar
100 gram santan kotak
Garam kasar
1 keping asam keping
2-3 sudu besar kerisik
Daun kunyit - hiris halus
½ sudu kecil serbuk jintan manis
½ sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk ketumbar
Bahan kisar:
6-7 biji bawang merah
6 ulas bawang outih
Segenggam cili padi kampung
1 sudu besar cili kering kisar - warna
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
3 batang serai
Cara cara:
Satukan ayam dan semua bahan kisar dan masak sehingga ayam empuk. Nota: saya masak semuanya dalam periuk tekanan terlebih dahulu. Kemudian baru dimasak atas dapur.
Masukkan santan, asam keping dan semua bahan perasa. Masukkan juga serbuk jintan dan ketumbar.
Setelah terbit minyak, masukkan kerisik dan kacau rata.
Akhir sekali tabur daun kunyit setelah rendang hampir masak. Masak sehingga kering yang disukai. Tutup api.
Nota:
Untuk rendang cantik terbit minyak, guna santan segar yang banyak iaitu 1 kg santan untuk 1 kg ayam. Nota: saya tak cukup stock. Atau boleh ditumis bahan kisar terlebih dahulu.





Ulasan
Catat Ulasan