Saya tak pasti dengan orang lain. Tapi sekarang terasa sangat tak selesa kerana cuaca panas sehingga badan berpeluh dan melekit lekit. Malam tadi saya cepat naik ke bilik dan terus hidupkan aircond. Tetapi nak menunggu bilik sejuk, saya kena guna hand held fan untuk sejukkan muka yang dah berpeluh peluh. Bilik tidur saya luas jadi memerlukan masa untuk sejuk.
Bila panas begini, teringat masa tinggal kat UK. Panas mereka lain macam walaupun suhu baru 20 degree lebih sahaja. Tak sampai pun 30. Ini adalah kerana panas kering. Bangunan di sana pula memang direka untuk menyimpan haba kerana 9 dari 12 bulan di sana adalah musim sejuk.
Kita tidak boleh pasang aircond di sana. Jadi rumah rumah di sana, tiada aircond. Jadi apa yang saya buat ialah menggunakan kipas kecil untuk sejukkan muka. Berebutlah kipas ni dengan Ammar. Kipas bilik dah tak rasa kesannya.
Terfikir kita di dunia, panas begini pun dah tak tahan. Huru hara rasa kepala. Bagaimana pula kepanasan di pada g Mahsyar yang matahari hanya sejengkal di atas kepala dan manusia yang bersesak sesak sehingga air peluh hampir paras hidung.
Kita di dunia asyik asyik cakap, nanti jumpa saya di akhirat. Sanggup ke nak tunggu clearance dalam suasana seperti itu. Bukan dalam aircond, atas sofa empuk dengan ada minuman pelbagai perisa lagi. Dok dalam penjara pun, masih selesa.
Yakin ke kita tak bersalah. Terutama para pemimpin yang suka berbohong pada rakyat. Setiap kenyataan yang dibuat, jika tidak benar, bermakna mereka berbohong pada berapa juta rakyat. Ini bukan kira dosa dengan Allah. Tapi dosa dengan rakyat yang dizalimi, yang diabaikan kebajikan mereka.
Senyap senyap jer subsidi elektrik diturunkan sehingga terbaca ada satu kes, rumah hanya didiami kedua ibubapa yang dulu bil hanya RM200 sebulan, tiba tiba menjadi RM600 sebulan. Rumah saya pun bil naik sekali ganda. Duit yang dibayar elektrik bukan petik dari pokok tau.
Siapa nak jawab tu? Pemimpin lah jawab. Yang tidak amanah, yang tidak pandai mentadbir, yang menggunakan rakyat untuk penyelesaian masalah dan pengurusan kewangan negara. Saya tak tahu pasal orang lain, tapi saya mahukan Allah membalas perbuatan mereka, pemimpin yang menzalimi kehidupan saya dan keluarga. Membebani hidup rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi. Harga barang tidak dikawal. Pendatang asing dan pelarian tidak dikawal. Tak tahu apa yang mereka buat pun. Hidup mewah tapi tak buat kerja yang diamanahkan. OK sehingga di sini dulu, kita masuk pula bab masakan.
Kalau tanya saya, masakan paling susah ialah pisang goreng rangup. Memang selalu tak menjadi. Kenapa tak menjadi rangup atau rangup tak kekal lama? Kerana saya adalah asal orang kampung yang hidup sederhana sahaja. Bila memasak, memang akan berjimat. Rasa sayang kalau guna minyak banyak banyak.
Saya pernah tengok seorang dalam keluarga saya, tuang minyak hampir separuh kuali untuk goreng ikan. Hasilnya memang lah sedap. Ikan tenggelam dan masak sempurna.
Begitu lah juga dengan goreng pisang, kena guna minyak banyak. Minyak kena benar benar panas. Kalau guna minyak tak banyak, akan jadi hangit. Sedangkan tepung belum lagi cukup garing.
Kali ini saya buat hanya setengah sikat menggunakan pisang raja pemberian jiran. Puashati kerana pisang goreng sedap dan tepung rangup krup krap krup krap.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Pisang Goreng Rangup
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
½ - 1 sikat pisang raja
1 cawan tepung beras
¼ cawan tepung gandum
Garam
Serbuk kunyit
1 sudu besar air kapur
1 sudu besar minyak masak panas
¾ - 1 ½ cawan air atau secukupnya - bancuhan kena sedikit cair
1 sudu kecil minyak panas
Cara cara:
Satukan semua bahan dan gaul sebati. Celup pisang yang dibelah dua dan masukkan ke dalam kuali.
Api kena sederhana sahaja. Setelah garing diterbalikkan dan goreng sehingga garing. Angkat dan tos.
Nota:
Pastikan minyak banyak dan benar benar panas sebelum masukkan pisang.
Jika ada lebihan bancuhan tepung, tabur di akhir sekali untuk menghasilkan serdak. Memang rangup krup krap.






Ulasan
Catat Ulasan