Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Mee Goreng Cili Padi Dan Bab Sedekah

Azie 22/08/2026 Catat Ulasan


Sebenarnya bila kita berusia pun, kita masih perlukan wang. Jadi kepada anak anak yang dah bekerja dan bergaji besar, beri lah duit kepada ibu bapa walaupun mereka dah bersara. Kenapa saya berkata begitu? Orang tua seperti arwah Bonda saya, walaupun tak ada pendapatan dan duduk di pondok tapi dia masih memberikan sedekah dan infaq, masih melakukan ibadah korban dengan duit yang diberi oleh anak anak. 

Kita pula selagi masih bernyawa, perlulah memperbanyakkan ibadah, perlu memperbanyakkan sedekah. Lakukan semuanya sendiri sementara masih hidup. Jangan mengharapkan anak anak atau sesiapa melakukannya untuk kita setelah kita meninggal. Kadang kadang ibubapa masih hidup pun anak anak kedekut, apalagi kalau dah meninggal. Adakah mereka akan ingat untuk bersedekah pada kita.

Alhamdulillah saya masih selagi mampu, bersedekah dan berinfaq untuk kedua dua arwah ibubapa saya. Lagi lagi wakaf pembinaan masjid dan tahfiz yang memberikan pahala berpanjangan. Bila membuat sedekah untuk mereka, saya juga mendapat pahalanya. Insya Allah. OK sekarang kita masuk pula bab masakan.


Saya biasanya akan guna resipi signature saya untuk menggoreng mee. Resipi yang menjadi kegemaran anak anak. Tapi hari ini, saya membuat sedikit kelainan. Menggunakan cili padi dan juga ikan bilis. Nana menegur kenapa tak masak mee yang biasa. Hahaha aduhaai. Saya saja lah nak menukar selera.

Aliya jer yang makan menambah nambah. Dia suka mee macam ni. Saya masak ini pun selepas balik dari Hari Sukan sekolah Ammar. Saya masih bertahan dengan Intermitten Fasting. Jadi masa kat sekolah Ammar tu menahan nafsu lah melihat pelbagai kuih muih dan minuman dijual. Dalam cuaca panas terik pula, memang tercabar lah sangat. Lagi lagi bila nampak pula keropok lekor goreng. Seriouslah terliur tengok orang sebelah dok mengunyah keropok lekor. 

Bila balik, saya terus lah memasak sup sayuran dengan bebola ikan. Bila Nana tanya bila nak goreng mee, saya pun terus lah menggoreng mee. Saya bukan apa, kalau tak ada orang nak makan, rasa macam membazir buat mee goreng dan akhirnya saya sendiri yang makan. Dah lah tengok nak mengurangkan berat badan.  

Sebenarnya sedap juga mee hari ini. Kelainan lah dari biasa. Tapi kalau dimasukkan daging lagi sedap. Air rebusan daging menjadikan mee kita lebih berperisa. Jadi kalau ada yang nak mencuba, boleh masukkan sedikit daging.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…



Mee Goreng Cili Padi
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 pek mee kuning
Ayam/daging
1 biji telur
Fish ball - belah 2
1/2 batang karot
Sawi/bok choi
Buah tomato
2 sudu besar sos tiram
Serbuk perasa - opsyenal
1/4 cawan minyak masak

Bahan Kisar kasar:
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
10 biji cili padi 
Segenggam ikan bilis

Cara cara:
Basuh mee manja manja sahaja dan tos. Ketepikan.  Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga sedikit keperangan. 

Masukkan fishball dan ayam atau daging. Nota: kalau guna daging, rebus dulu. Air rebusan daging jangan buang. Boleh masukkan air rebusan ketika menumis. 

Jika suka, masukkan juga udang. 

Kemudian masukkan sayuran keras seperti karot. 

Masukkan sos tiram dan serbuk perasa. Jika perlu, masukkan sedikit air. 

Kemudian masukkan mee kuning dan daun sawi. Gaul rata.

Akhir sekali, ketepikan mee dan pecahkan telur dan tutup dengan mee. Setelah telur masak, baru kacau rata dengan mee. Boleh tutup api. 


Nota:
Ini adalah kali pertama saya menggunakan ikan bilis dalam mee goreng. Pendapat saya, ikan bilis lebih sedap di dalam mee hoon goreng. Jadi saya rasa lebih sedap menggunakan daging atau ayam untuk menggoreng mee.


Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan