Sejak semua orang ada handphone di tangan, semua orang menpunyai akaun medsos dan semua orang rasa entitled untuk menulis atau memaki atau apa sahaja walaupun masuk ke rumah orang.
Sekarang ini, rasanya menakutkan melihat betapa nipisnya iman kita umat Islam ni. Masuk jer ke facebook, tiktok atau Threads, akan nampak komen lelaki perempuan tuan muda yang memaki. Asal tak setuju sahaja, terus mendoakan agar orang yang melakukannya ditimpa bala, supaya anak anak orang itu termakan racun, supaya dicampak ke neraka dll.
Ada satu posting berkenaan video pembakaran hidup hidup burung hantu, saya menulis bahawa kalau kita tidak bersetuju, jangan doakan keburukan. Tanpa kita mendoakan pun, Allah pasti akan membalas setiap kebaikan atau keburukan. Sebaliknya hanya doakan yang baik baik agar si pelaku diberikan keinsafan, kesedaran dan ditunjukkan jalan yang benar.
Ada pula yang menuduh, saya tiada perasaan. Yang sebenarnya saya merasa sangat terkesan dengan video kejam tersebut tapi saya tidak menyumpah. Sebaliknya saya berkata di hati, Ya Allah kenapa kejam sangat manusia ini. Saya berbalik pada Allah. Saya mengadu pada Allah kerana tidak sanggup melihat dan seolah terasa kesakitan yang dialami oleh burung berkenaan.
Bukan saya tidak ada perasaan. Tapi saya ada iman, saya ada Allah. Perbuatan buruk, tanpa kita mendoakan pun, Allah pasti membalasnya. Kalau tidak di dunia, pasti sekali di akhirat. Itu janji Allah. Tetapi Allah Maha Pengampun dan akan mengampuni mana mana hambaNya yang bertaubat dan menyesali dosa dosa yang telah dilakukan. OK sekarang kita masuk pula bab masakan.
Hari ini saya menyediakan masak lemak putih atau kalau di Kelantan di panggil gulai lemak putih sayur. Sekarang lauk ini menjadi viral sejak menu ini ada di Restoran Rembayung Khairul Aming. Lauk ini sebenarnya lauk yang sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan seumpama asam pedas yang popular di Johor. Saya pernah baca di mana di katakan di Johor pagi petang ada hidangan asam pedas.
Cuma bezanya lauk ini di Kelantan dimasak menggunakan isi ikan rebus atau ikan bakar. Nak lagi sedap guna santan segar. Yang paling penting juga, adanya lada solok yang berwarna hijau muda. Wallaaa sedap nyer. Haa kebetulan besan saya Datin Setia Nursinah memberikan terung dan lada solok yang ditanam di rumah beliau secara hidroponik. Maka rugi lah kalau tak masak lemak putih terung dan lada solok ini.
Tak kira lah menggunakan sayuran apa pun. Boleh digunakan satu jenis atau dicampurkan beberapa jenis sayuran. Yang paling terkenal ialah terung, kacang panjang, kubis, sawi. Ada juga yang guna nangka muda, petola dll. Tapi kebelakangan ini, ramai guna juga karot untuk warna. Sebenarnya karot tidak lah popular di sana. Rumah saya memang tak ada karot.
Kalau dah masak lauk ini, sahabat yang paling ngam ialah ikan rebus goreng, ikan goreng garam kunyit, ayam goreng. Ada juga orang makan dengan ikan kering dan sambal Kelantan. Tapi kalau saya, apa apa ikan goreng pun dah cukup kombinasinya.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...
Masak Lemak Putih Terung
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
5-6 biji terung
Sedikit kubis
5 biji lada solok
1 kotak santan
Garam
Sedikit serbuk perasa
Bahan tumbuk:
4 biji bawang merah
1 sudu kecil lada hitam - boleh lebihkan
1 ekor isi ikan kembung rebus
Cara cara:
Masukkan bahan tumbuk dan sayuran ke dalam periuk dengan sedikit air. Masak seketika sehingga mendidih.
Setelah mendidih, masukkan santan dan air secukupnya, ikut kepekatan kuah yang disukai.
Masukkan garam dan serbuk perasa. Akhir sekali, masukkan lada solok. Kacau rata dan tutup api.
Nota:
Boleh dimasukkan apa apa sayuran yang disukai. Jika suka berwarna, boleh masukkan karot dan juga sayuran berdaun seperti sawi.
Masakan ini lebih ori jika menggunakan lada solok.
Lebih sedap jika menggunakan santan segar, namun perlu dikacau supaya kuah tidak berketul.



Ulasan
Catat Ulasan