Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Ayam Masak Kicap Mudah Dan Bab Gajah

Azie 25/08/2026 Catat Ulasan

 


Sekarang tengah heboh kes Gajah yang berjalan dari Grik ke tempat asalnya di Gua Musang. Kasihan sungguh melihat ia berjalan jauh seorang diri dengan kaki yang cedera. Akibatnya ramai netizen mengutuk pihak Perhilitan dan juga orang kampung di Gua Musang yang buat report kerana tanaman dan kebun mereka dirosakkan gajah gajah. 

Saya percaya mereka yang menulis komen dengan mengutuk dan menghina Perhilitan dan orang kampung adalah orang yang berada di bandar, kerja dalam pejabat dan bergaji bulanan. Mereka tak menggunakan tenaga 4 kerat dalam mencari rezeki. 

Ada siap suruh orang kampung pindah jika tak mahu diganggu gajah. Kita tak tahu berapa lama kampung itu wujud dan mereka mungkin telah lama ttinggal di sana dengan berkebun dan bercucuk tanam. Semudah itu kah untuk mereka pindah. Nak pindah kena ada tanah, manusia bukan boleh pacak tiang rumah sesuka hati. Bagaimana jika hari ini kerajaan meminta kita pindah dari rumah selesa kita sekarang tanpa sebab? Adakah kita bersedia?

Maaf saya sebenarnya tak ada solusi pun untuk dicadangkan andai rumah saya lah yang dirosakkan tanamannya. Sebagai rakyat, yang saya tahu adalah membuat laporan kepada pihak berwajib sahaja. 

Tak ada lah pulak saya kena menanam pokok pokok buah di dalam hutan untuk dimakan gajah supaya gajah tak datang merosakkan hasil kebun saya. Dah alam semulajadi gajah makan hasil hutan. Manusia pula perlu bekerja untuk mendapat duit bagi meneruskan kehidupan. Andai apa yang diusahakan tidak menjadi, bagaimana mereka mahu membiayai anak anak mereka. 

Mana pergi empati anda pada manusia lain yang susah. Saya memang tinggal di banglo besar di bandar tapi saya tetap memahami betapa struggle nya kehidupan orang kampung yang hidupnya berkebun dan menanam.

Sebagaimana saya empati pada gajah, saya juga empati pada manusia yang hidup susah. Bercucuk tanam ini bukan sahaja perlukan modal tenaga tetapi juga wang. Perlu dibaja dan dijaga untuk kesuburan tanaman. Baru lah ianya memberikan hasil dan pulangan. 

Bila rasa kehidupan terancam, kenalah berbuat sesuatu. Mungkin tindakan Perhilitan untuk relocate adalah betul sekiranya gajah itu boleh adapt di tempat baru. Tapi ternyata gajah tidak boleh adapt tempat baru, maka ini yang terjadi. Jadi jangan lah mengecam dan menghina Perhilitan atau mereka yang membuat aduan. 

Kalau dah tak ada trust dengan Perhilitan, jadi lah volunteer untuk kerja kerja kebajikan haiwan. Pakat pakat bagi duit pada orang kampung yang tanaman dirosakkan gajah kerana kononnya mereka kedekut untuk bagi makan gajah. Manusia yang tak kedekut sama sama lah kongsi rezeki dengan manusia yang malang. 

Kita tidak berada di tempat mereka, kita tidak ada dalam kasut mereka. Tetap lah merasa empati pada manusia kerana kita manusia. Kita tahu bagaimana rasanya lapar bila tak berduit untuk membeli makanan. OK setakat ini dahulu, kita masuk pula bab masakan. 


Saya memang dari kecil tak suka kicap. Kalau masa kecil dulu, makan kicap hanya untuk dijadikan colek untuk cicah dengan buah mangga muda. Dalam kicap tu letak sekali belacan, gula, garam dan cili padi. 

Tapi saya tengok anak anak suka sangat makan lauk berasaskan kicap. Hatta dah ada lauk berkuah pun, mereka masih tuang kicap ke atas nasi. Pendek kata kicap sentiasa ada di rumah. 

Jadi saya kerap juga menyediakan lauk samada daging, hati atau ayam masak kicap. Ayam masak kicap ni sangat mudah dan sedap. Ada pelbagai resipi masak kicap. Bahan hampir sama cuma cara penyediaannya yang berbeza. Yang jadi hasilnya juga berbeza. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini selamat mencuba….


Ayam Goreng Kicap

Oleh: Azie Kitchen


Bahan bahan:

1 ekor ayam - lumur garam kunyit

3 sudu besar cili kisar 

1 biji buah tomato

2 sudu besar sos tiram

4 sudu besar sos cili

½ cawan kicap cap kipas udang

1 sudu kecil pes asam jawa

Cili padi

Minyak - sukat


Hiris kasar:

1 biji bawang besar

3 ulas bawang putih

3 inci halia


Cara cara:

Goreng ayam sehingga masak. Angkat dan ketepikan. 


Panaskan minyak dan tumis cili kisar dan bahan hiris sehingga terbit minyak. 


Setelah terbit minyak, masukkan buah tomato dan semua sos dan kicap manis. 


Masukkan pes asam Jawa dan cili padi. Kacau rata. Jika perlu, masukkan sedikit air. 



Masukkan ayam goreng dan kacau rata. Biarkan kuah mendidih dan sedikit pekat. Boleh tutup api. 





Nota:

Tak perlu garam dan gula lagi. 



Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan