Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Masak Kicap Dan Bab Istighfar



Saya ingin kongsikan petikan dari usrah online malam tadi. Saya tak dapat buka kerana tak tahu apa yang jadi dengan akaun zoom. Saya meminta kawan saya Datin Norlella untuk kongsikan link untuk saya mendengarnya. Ianya berkenaan dengan istighfar hadiah paling mahal dari Allah. Jadi kena perbanyakkan Istighfar atau mohon keampunan. 

Kenapa kita mesti mohon ampun. Allah menyebut sesungguh manusia dijadikan dalam keadaan serba lemah, dalam segala galannya termasuklah hasutan dan gangguan syaitan yang telah berjanji pada Allah untuk menyesatkan manusia dari semua sudut sehingga manusia melakukan kesilapan yang berulang ulang. 

Dalam Hadis dikisahkan seorang lelaki datang bertemu Rasulullah dan memberitahu bahawa dia telah lakukan dosa. Rasulullah berkata bila melakukan dosa, mohonlah keampunan pada Allah. Aku telah mohon ampun tapi aku mengulanginya kesalahan sama. Ditanya lagi sampai bila. Rasulullah tetap menjawab mohonlah ampun sehingga syaitan menjadi kecewa dan putus asa dengan seseorang yang lidahnya sentiasa beristighfar pada Allah. Inilah hadiah kurniaan Allah yang begitu berharga pada manusia.

Allah menceritakan ciri ciri orang yang bertakwa. Mereka yang melakukan kesalahan dan bila teringat akan dosa tanpa berlengah akan terus menohon ampun atas dosa yang telah dilakukan. Tiada yang mampu mengampunkan dosa melainkan Allah. 

Selain keampunan, ada pelbagai fadilat dari istighfar. Antaranya disebur dalam surah Nuh ayat ke 10, mohon ampunlah kamu sesungguhnya Allah Maha Mengampun. Allah akan menurunkan hujan dalam keadaan lebat dan dikurniakan dengan harta dan anak pinak. Makanya Allah akan datangkan rezeki dengan turunkan hujan, dalam keadaan kemarau. 

Allah juga boleh berikan harta pada mereka yang banyak istighfar kerana yang mendatangkan harta ialah Allah. Manusia hanya lah berusaha mencari sebab yang boleh mendatangkan rezeki tersebut.

Termasuklah anak anak. Seorang tidak ada anak, Allah akan kurniakan zuriat, yang tidak miliki kebun, Allah akan datangkan kebun dan sungai hasil dari istighfar. 

Antara kelebihan lain ialah dari hadis yang menyebut barang siapa yang melazimkan istighfar pada Allah, mereka yang menghadapi anxiety atau ujian, dari setiap kebimbangan apa yang belum berlaku di masa akan datang. Kesedihan adalah atas perkara yang telah berlaku. Apa jadi jika aku berhenti kerja, maka istighar memainkan peranan agak penting di mana ia akan memberi ketenangan pada diri dan jiwa. Allah akan memberi rezeki yang tidak terhitung dan tidak pernah disangka sangka. Begitu hebatnya kurniaan Allah dengan istighfar. 

Selain itu juga surah al anfal ayat 33, tidaklah Allah akan mengazab mereka sedang mereka sentiasa beristighfar. Minta ampun atas kesilapan yang kita lakukan. Apa sahaja dalam hidup kita, amalkan istighfar. Rasa melakukan dosa, istighfar, mahu mohon zuriat atau nohon rezeki, amalkan istighfar. Pendek kata istighfar lah dalam apa jua keadaan supaya catatan amal kita banyak dengan istighfar. 

Kadang kadang kita bersedih atas apa yang telah berlaku dalam hidup kita, maka beristighfar lah. Kadang kita bimbang akan perkara yang belum berlaku dan mungkin ianya tidak berlaku pun, tapi kita dah bimbang. Lagi lagi bab rezeki. 

Kebimbangan utama manusia ialah bab rezeki. Kerana manusia hidup dengan mencari rezeki untuk cari wang untuk membeli pelbagai keperluan hidup. Sehingga ada yang menipu membunuh dan melakukan apa sahaja kerana wang. Ada yang kedekut untuk bersedekah juga kerana bimbang kekurangan wang dan harta. 

Bimbang kalau dibuang kerja, bimbang kalau tak bekerja, macam mana nak dapatkan wang. Bimbang bila duit tak ada. Sedangkan kita lupa yang memberikan rezeki adalah Allah. Jika semua manusia mahu memberi sekali pun, jika Allah tidak izinkan tidak akan terjadi. 

Tidak bekerja, berada di rumah sekali pun, rezeki akan datang melalui apa sahaja cara yang Allah dah aturkan. Itu yang selalu disebut, rezeki tidak akan salah alamat. Mungkin melalui anak anak atau sahabat sahabat. 

Contoh saya beberapa hari ini teringin sangat nak makan durian dan rambutan. Tiba tiba Puan Azizah menghantar mesej mahu menghantar durian dari kebun beliau. Sekotak besar dihantar durian musang king dan IOI. Masya Allah sangat sedap dan saya sangat gembira dengan pemberian tersebut.


Pagi ini tiba tiba sahabat kami Haji Kamaruddin dan Dr Hamidah menghantar 2 ikat besar rambutan tanpa saya sangka sangka. Mereka langsung tak memberitahu. Alih alih Juita membawa masuk rambutan ke dapur. Masya Allah. Alhamdulillah. 


Suasana hari ini begitu menakutkan. Hadis akhir zaman ada menyebut bab berkaitan fitnah dan peristiwa menakutkan akan berlaku. Antaranya Rasulullah menyebut tanda akan berlaku hari kiamat di mana ilmu diangkat oleh Allah dengan mematikan para ulamak dan tiada lagi tradisi ilmu. Arak dan zina diminum dan berlaku dengan berleluasa dan menjadi satu perkara biasa. 

Baginda mengajar kita untuk mengejar amalan soleh. Kerana akan ada ujian besar seperti seorang berada pada suasana cukup gelap. Pagi menjadi seorang beriman tapi sebelah malam, menjadi kafir dan berubah pendirian. Sanggup menjual agama untuk menikmati secubit nikmat di dunia. Setakat ini adalah antara kelebihan istighfar untuk kita amalkan. 


Saya hari ini memasak ayam masak kicap dengan duduk di atas kerusi bangku sahaja. Ini versi yang paling mudah dan yang penting sedap. Hubby ambil semua keperluan dan letak di atas kabinet dapur supaya mudah untuk saya mencapainya. 

Saya menumbuk bawang juga sambil duduk. Saya menggunakan tongkat, jadi tak dapat mengangkat periuk kuali. Kedua dua tangan perlu menampung berat badan saya untuk mengelakkan tekanan pada tulang kaki saya yang retak dan ligamen yang cedera. Biasanya bila anak balik, baru mereka akan masakkan nasi untuk makan malam. 

Kebelakangan ini bukan sahaja Ammar tapi Aliya juga dah pandai minta nak makan nasi dengan ayam. Kadang kadang dia minta telur goreng. Mungkin sebab dah besar dan dah ke sekolah. Penat menjadikan mereka lapar. Kalau dulu, jenuh nak memanggil mereka makan. Makan pun kena paksa paksa. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….


Ayam Masak Kicap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
½ ekor ayam - lumur garam kunyit
1 biji bawang Holland - hiris
2 senduk nasi kicap manis
½ senduk nasi kicap ABC
1 mug kecil air
Secubit garam

Bahan tumbuk:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
½ -1 inci halia
1 sudu besar cili kering kisar

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga masak. Angkat dan ketepikan. 

Menggunakan minyak sama (keluarkan minyak berlebihan) dan tumis bahan tumbuk sehingga garing atas api perlahan. 

Masukkan bawang besar, kicap dan sedikit air. Masukkan sedikit garam, jika perlu. 

Akhir sekali, masukkan ayam yang digoreng, kacau rata. Masak atas api perlahan sehingga kuah sedikit pekat dan melekit. Tutup api. 



Nota:
Boleh juga guna Kicap jalen kuning lemak manis.


Catat Ulasan for "Ayam Masak Kicap Dan Bab Istighfar"