Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Alhamdulillah Tahniah Kakak

 


Assalamualaikum semua. Saat saya menulis entri ini hari ini, kami telah pun berada di Malaysia. Kami tiba di sini pada 16 May 2026. Kiranya telah genap seminggu. Hahaha saya masih jet lag dan penat dengan perubahan cuaca. 

Sehari sebelum balik, selepas mengemas barang barang untuk di pos melalui shipping, kami keluar ke Moorfield Eye Hospital London tempat di mana Nana menjalani program fellowship beliau selama 1 tahun. Selepas bergambar sebagai kenang kenangan di situ, kami singgah makan pizza dan pasta di restoran tempat di mana Nana dan kawan kawannya biasa makan. 



Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana dia telah menamatkan program dengan jayanya dan telah disahkan sebagai Doktor Pakar Mata dalam Bidang Medical Retina. Insya Allah Nana akan kembali bertugas di Hospital UiTM minggu hadapan selepas selesai urusan persekolahan Ammar dan Aliya. Jadi siapa nak jumpa Nana, boleh lah buat appointment dengan dia di sana. Hahaha. 



Alhamdulillah segalanya telah dipermudahkan untuk Nana disebalik pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang di sini. Sokongan padu dari menantu saya yang menjaga persekolahan Ammar dan Aliya serta keperluan rumah juga sangat sangat lah membantu. 



Saya melihat sendiri betapa struggle hidup di sini, bukan kerana kerjanya tetapi persekitarannya seperti sistem pengurusan dan prosedure kerja di sini, gaji dan kos kehidupan di sini. 

Nana berbasikal setiap hari ke hospital kerana masa yang diambil jika menaiki bas adalah sama sahaja dengan berbasikal atau berlari. Sebelum membeli basikal, dia berlari balik ke rumah selepas menukar pakaian di hospital. 

Bayangkan di musim winter, keluar rumah masih dalam keadaan gelap dan balik juga hari sudah pun gelap. Saya bukan bimbang pasal gelap tapi saya bimbangkan keselamatan dia maklum di UK sekarang memang banyak kes jenayah. Bukan maksudnya dia sahaja. Semua orang di sini pun alami situasi yang sama. Negara 4 musim kan. Cuma ianya berbeza dengan rutin waktu bekerja Malaysia sebelum ini. 

Setiap kali dia keluar, saya akan berdoa supaya dipermudahkan dan selamat untuk dia. Hati saya menjadi sangat sedih terutama bila dia keluar dalam keadaan hujan renyai dengan berbaju hujan. Perasaan seorang ibu sama sahaja, walaupun anak dah besar panjang dan berkeluarga tapi bimbang dan risau tetap ada. 

Di bulan Ramadhan, dia berbuka puasa dalam perjalanan kerana masuk waktu berbuka adalah pukul 5.00 lebih. Sedangkan dia masih dalam perjalanan balik. Bila bunyi jer pintu dibuka, hati saya merasa sangat lega dan bersyukur. 

Gaji di sini juga tidak begitu besar untuk mereka yang telah lama bekerja. Dan yang mengejutkan juga ialah tiada kenaikan gaji tahunan. Agak mencabar untuk mereka yang telah menpunyai komitmen seperti rumah dan kereta di sini. 

Kos sara hidup memang lah tinggi kerana kami tinggal di London, berdekatan dengan Tower Bridge. Sewa rumah sahaja lebih dari separuh gaji, belum lagi bayaran bil utilities. Jadi kalau mereka yang baru menamatkan pengajian, mungkin boleh bekerja di sini tanpa merasa perbezaan dengan bekerja di Malaysia. 


Saya berdoa semoga segala usaha Nana akan diberkati dan dia akan lebih cemerlang dalam kerjayanya. Sama sama doakan agar segala urusan Nana sekarang dan di masa hadapan dipermudahkan. Juga semoga beliau dimurahkan rezeki. Aamiin. Terima kasih semua. 



Catat Ulasan for "Alhamdulillah Tahniah Kakak"