Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Ayam Broiler



Hari ini adalah hari kedua, cuaca di London agak panas dan matahari menyinar. Sebelum ini di York, cuaca agak sejuk dan berangin. Baru 4 hari meninggalkan London, balik tengok pokok pokok cherry blossom sekitar rumah kami berbunga dengan lebat dan cantik warna pinknya. Masa kami ke sini 1 Mei 2025 dah tak ada semua bunga bunga cherry blossom.

Jadi alang alang cuaca pun cantik, saya keluarlah mencari cherry blossom dengan hanya memakai kemeja biasa sahaja. Tak perlu nak pakai inner pun. Puashati sangat dapat melihat dan memegang sendiri bunga yang menjadi pujaan ramai ini.

Saya sebenarnya sejak awal tahun 2000 lagi dah teringin nak menikmati keindahan bunga cherry blossom. Ketika itu, saya dan suami bertemu dengan Datuk Rujhan dan isteri di MAS Golden Lounge. Isteriya Datin Nurhidayah berasal dari Japan. Mereka memberitahu hendak balik ke sana untuk bercuti sambil menikmati bunga cherry ini. 


Bunga cherry ini akan mekar dalam masa 2 minggu jer sebelum gugur. Jadi waktu saya masih bekerja, agak sukar untuk mendapat cuti di masa yang tepat.  Tak sangka pula tak dapat tengok cherry blossom di Japan tapi dapat tengok cherry blossom di kawasan rumah kami di London sahaja. Alhamdulillah happy sangat. Ini adalah salah satu wishlist saya yang sangat sangat saya ingin capai. Ingat lepas bersara tahun 2020, nak bercuti ke Jepun tapi dah ada pulak covid 19 yang melanda seluruh dunia. 



Saya memang dah jemu makan ayam di London ni. Ayam sini isi tak banyak, dan ada bau sedikit. Kalau nak goreng, kena perap dengan garam kunyit dan dimasukkan sedikit serbuk pati ayam. 

Hari tu dah teringin nak makan broiler chicken selepas dapat sahabat saya memasak ala ala gulai kerutuk. Ayam broiler ini kalau di google adalah ayam yang diternak untuk daging dan sedia untuk dimakan dalam masa 6-8 minggu dengan daging yang lembut. Tapi pelik pula, kalau kerana ayam broiler yang dibeli kalau untuk daging tapi dagingnya tak banyak dan liat. 

Saya minta Nana beli tapi Nana dah guna untuk masak ayam masak merah masa jamuan raya. Kini baru lah tahu ayam yang macam ayam pencen ini agak keras dan perlu dimasak dalam masa yang lama. Jadi masakan sesuai ialah masakan berkuah seperti rendang, gulai yang kita perlu masak lama. Hari ini saya dan Alain berpuasa Syawal hari ke6. Jadi saya masak nasi lemak untuk dimakan dengan rendang ayam ini dan telur rebus serta timun. Sambal pula adalah sambal tumis ikan bilis. 

Dah siap masak, Nana mengajak ke Regent's Park, jadi kami bawa makanan untuk berbuka puasa di sana. Sambil berkelah lah. Di sana ramai orang yang berkelah lagi lagi kalau cuaca cantik seperti sekarang.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba.... 


Rendang Ayam Broiler
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam broiler
2 sudu besar cili kering kisar
1-2 keping asam keping
1-2 sudu besar garam 
1 sudu besar kerisik
Santan secukupnya

Bahan kisar:
1 biji bawang besar - saiz besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 hiris lengkuas
1-2 inci kunyit hidup
1 batang serai

Cara cara:
Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar dan cili kering kisar sehingga kering airnya. Tak perlu terbit minyak pun sebab akan dimasak lama. Masukkan ayam dan masak sehingga ayam kecut dan terbit minyak. 




Masukkan air secukupnya untuk masak sehingga ayam empuk. Jika belum empuk, tambah lagi air.

Setelah ayam empuk, masukkan santan, asam keping, garam dan kerisik.

Masak sehingga pekat yang disukai. Jika ada daun kunyit, masukkan daun kunyit yang dihiris. Nota: Saya tak ada daun kunyit. 






Catat Ulasan for "Rendang Ayam Broiler "