Telur Goreng Berlado dan Bab Wisdom
Semakin kita berusia, kita akan diberikan kelebihan dan kematangan dalam berfikir. Istilah yang kerap digunakan dan difahami ialah wisdom. Kita mulai melihat sesuatu di luar dari apa yang tersurat. Kita mulai melihat suatu kepentingan dalam hidup yang perlu diberikan fokus dan prioriti.
Saya pasti orang lain juga akan mengalami fasa fasa ini di dalam kehidupan. Suatu perkara yang dulu, kita rasa penting dan kejar kejar tapi kini kita merasakan ianya adalah tidak penting dan rasa tertipu jika memberikannya fokus dalam kehidupan.
Contoh mudah ialah rezeki, kalau dulu kita merasa bimbang atau risau bila melihat duit dah tak bayak atau pendapatan dah berkurangan. Tapi setelah kita memahami bahawa rezeki telah ditetapkan Allah, kita tidak lagi jadi risau. Yakin dan tenang bahawa setiap manusia ada rezekinya masing masing.
Begitu juga dengan perjalanan takdir. Tidak perlu dibimbangi masa depan, kadang kadang apa yang dirisaukan tidak pun berlaku. Yakin bahawa segala perjalanan hidup kita telah diatur sejak dari Luh Mahfuz lagi. Semua mengikut ketetapan Allah.
Bila diuji, perlu bersabar dan diberi nikmat tetaplah bersyukur. Tiada istilah berdamai dengan takdir. Kerana kita perlu menerimanya secara total tanpa berkeluh kesah dulu sebelum mulai redha. Mesti berlaku spur of the moment. Berlaku jer, terus terima dan redha. OK setakat ini dahulu, semoga bermanafaat.
Saya hari ini memang tak tahu apa nak dimasak. Memang kekeringan idea. Jadi saya pun bukalah tiktok untuk mendapatkan idea masakan. Masa tu lah ternampak resipi telur goreng berlado. Saya pun terus meneliti video tersebut untuk melihat bahan digunakan serta cara memasaknya.
Saya tertarik nak cuba resipi yang saya tengok di mana mak Datin Atikah Suhaimee memasak di rumah anaknya. Saya tengok resipinya ditulis cili merah kisar. Saya cari juga kalau ada juga dimasukkan bawang atau mungkin terlupa nak tulis bawang. Jadi saya assume dia pakai bawang, jadi saya pun ikut lah untuk meraikan perbezaan dan mendapatkan kelainan resipi.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba.....
Telur Goreng Berlado
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
4 biji telur rebus
½ sudu kecil garam
1 sudu kecil gula
1-2 sudu besar sos tiram
1 biji bawang besar - hiris
2 batang serai
Daun limau purut
Bahan kisar:
4-5 biji cili merah
Cara cara:
Panaskan minyak sehingga berasap dan goreng telur rebus sehingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
Panaskan minyak dan masukkan serai serta cili kisar. Masak sehingga terbit minyak. Masukkan sedikit air.
Setelah terbit minyak masuk sos tiram, garam dan gula.
Akhir sekali, masuk daun limau purut dan telur goreng. Masukkan bawang besar hiris. Kacau rata sehingga bawang layu. Boleh tutup api.
Nota:
Resipi saya biasanya, saya kisar sekali cili merah dengan 2-3 biji bawang merah dan 1-2 ulas bawang putih. Pendapat saya, lebih sedap dikisar cili dengan sedikit bawang merah.




Catat Ulasan for "Telur Goreng Berlado dan Bab Wisdom"
Add your comment