Puding Koktail Juita Amanda Dan Hidangan Raya
Siapa macam saya, kalau berbuka puasa, nak ada kuih kuih basah macam puding dan agar agar? Atau kuih muih berkuah seperti pengat, kuih biji nangka, nekbat yang semua nya basah basah. Antaranya ialah puding koktail dan agar agar sirap merah.
Begitu juga dengan hari raya, memang macam harus ada agar agar atau puding sebagai makanan pemanis selain tapai nasi. Makanan utama kami di hari raya ialah ketupat palas dicicah dengan air manisan cair, yang dibuat dari nira kelapa.
Hidangan raya kami dulu dulu, tak ada rendang. Tapi zaman sekarang, dah ramai anak anak muda yang memasak rendang selepas belajar dari rakan rakan di negeri lain. Tapi kalau orang kampung zaman saya kecil kecil dulu, memang tak ada rendang. Kalau orang yang kaya berada, disediakan nasi minyak dan set ayam kuzi, daging dan acar. Selain itu, ada juga sate dan nasi impit bersama kuah kacang. Haa itu lah kisah hidangan raya orang kampung saya.
Saya belajar resipi puding koktail ini dari anak saya Juita. Setiap kali ada majlis makan makan atau untuk hidangan hari raya, memang dia yang akan menyediakan kuih dan puding.
Antara signature puding dari Juita ialah Puding Koktail buah buahan ni. Sedap sangat lagi lagi kalau dimakan masa sejuk sejuk. Secukup jer rasanya, tidak terlalu manis pun.
Saya menyediakan puding ini ketika kawan Alain dari Sutton datang berbuka puasa di rumah. Itu pun berhari hari juga nak habiskan satu loyang puding ni.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba.....
Agar Agar Buah Buahan Koktail Juita
Oleh: Azie Kitchen
Bahan-bahan :
10 gram serbuk agar-agar
1 tin buah buahan koktail - 415 gram
150 gm gula
650 ml air - termasuk air koktail
250 ml susu cair
Cara cara:
Masak serbuk agar agar, gula dan air sehingga agar-agar dan gula larut.
Masukkan susu cair dan kacau sehingga mendidih. Setelah mendidih, tutup api dan masukkan buah buahan koktail.
Tuang adunan agar-agar ke dalam loyang/acuan yang disukai. Sejukkan seketika sebelum disejukkan di dalam peti ais sebelum dihidangkan.
Nota:
Air buah dimasukkan dalam air dan cukupkan 650 ml.




Catat Ulasan for "Puding Koktail Juita Amanda Dan Hidangan Raya"
Add your comment