Puding Karamel Dan Fellowship Nana
Insya Allah, tak sampai 3 bulan lagi, kami akan kembali ke tanahair. Perasaan bercampur baur. Gembira kerana anak saya, Nana akan menamatkan program fellowship dan seterusnya kembali dengan kepakaran sebagai medical retina specialist di hospital UiTM Puncak Alam.
Penat melihat Nana belajar dan menduduki peperiksaan dari degree lagi sehingga sekarang. Rasanya dah sampai masa untuk dia berehat pula. Cukup sekadar menghadiri kursus atau conference untuk memperbaharui ilmu dan teknologi terkini.
Gembira juga kerana akan kembali bersama keluarga saya. Bersama sahabat sahabat saya. Lagi lagi makanan Malaysia di mana saya sangat merinduinya.
Sedih pula kerana akan meninggalkan kota London. Kota yang menjadi destinasi pilihan untuk percutian saya sekeluarga. Walaupun saya jarang jer keluar ke Central London tapi saya tahu, bila bila saya nak ke Oxford Street, saya cuma bersiap dan keluar sahaja.
Saya suka naik bas kerana suka melihat bangunan dan pemandangan sepanjang jalan di sini. OK setakat ini dahulu, sekarang kita masuk pula bab masakan.
Saya bila berada di perantauan ni, guna jer apa sahaja yang ada. Nak beli loyang tak ada pulak. Jadi guna jer bekas aluminium. Cari yang permukaan bawah rata, tak ada. Itu sebab permukaan bawah puding karamel saya tak berapa cantik dan tak rata.
Tapi rasa tetap sedap dan kena dengan selera saya. Saya belajar resipi ini dengan rakan sekerja. Dah dekat 40 tahun kot. Saya suka sangat dengan resipi ni, simple. Tak ada fancy fancy nak letak susu pekat manis, nak letak macam macam. Dulu, balik kerja jer terus masuk dapur dan buat. Selepas berbuka puasa, dah boleh makan.
Seperti ramai yang follow saya tahu, saya pentingkan masakan menggunakan bahan simple, murah dan yang penting sedap. Tak perlu nak berlebihan. Ianya sesuai dengan latarbelakang saya, orang kampung yang hidup sederhana.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba.....
Puding Karamel
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
5 - 6 biji telur - ikut saiz
1 tin susu cair
1 tin air
5 - 6 sudu besar gula
Esen vanila
6-7 sudu besar gula - untuk dibuat gula hangus
Cara cara:
Masak 5-6 sudu besar gula untuk dijadikan gula hangus atas api perlahan. Setelah cair, tuang ke dalam loyang atau acuan disukai. Nota: boleh terus buat dalam loyang dengan disendeng sendeng tak perlu dikacau.
Pukul telur dan gula sehingga hancur. Masukkan 1 tin susu cair dan 1 tin air serta sedikit esen vanilla.
Tuang dalam acuan yang telah diletakkan gula hangus. Kukus hingga masak. Nota: saya kukus dalam 2 bekas aluminium saiz 8 inci. Berat 550 gram setiap satu. Saya kukus selama 10 minit.
Nota:
Blh tambah 2 sudu besar air panas dalam gula hangus, jika nak lebih cepat cair.







Catat Ulasan for "Puding Karamel Dan Fellowship Nana "
Add your comment