Kuih Bakar Pandan Sedap Dan Iftar Di London
Saya menyediakan kuih bakar pandan ini untuk berbuka puasa malam tadi. Saya berbuka puasa seorang diri kerana Nana semua berbuka puasa bersama warga Malaysia di London.
Saya tak dapat ikut kerana kebiasaan selepas berbuka, saya menjadi sangat mengantuk. Keliling mata dah rasa pedih. Kadang kadang selepas Maghrib, saya terpaksa tidur seketika sebelum bangun solat Isyak dan Terawih. Tak pasti kalau ianya faktor usia atau cuaca di London.
Tapi saya dulu pun bukan orang yang malam, maksudnya saya sebelum pukul 9.00 malam mesti dah siap solat Isyak semua. Sebab selepas pukul 9.00 malam, saya secara automatik akan rasa hari dah malam untuk berbuat apa apa aktiviti. 9.00 malam tu macam garisan pemisah untuk malam dan siang saya.
Resipi ini saya pernah cuba beberapa kali dan saya sangat suka dengan rasanya. Saya memang penggemar kuih muih tradisonal dan antara resipi kesukaan saya selain resipi ini ialah resipi yang saya belajar dari Arwah Kak Lok.
Kuih bakar arwah adalah yang paling sedap saya pernah rasa sehingga saya bertahun tahun mencari arwah. Setelah berjaya menghubungi arwah, saya terus minta diajarkan resipinya.
Beberapa minggu sebelum meninggal, arwah menghubungi saya dan memberitahu akan mengajar saya beberapa resipi beliau lagi. Kataya tunggu selepas beliau sihat. Tapi kita hanya mampu merancang. Arwah pergi sebelum sempat kami bertemu.
Alhamdulillah semoga arwah mendapat pahala dari perkongsian ilmu dengan saya dan seterusnya dengan pembaca blog saya semua. Boleh cari resipi tersebut di blog saya.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba.....
Kuih Bakar Pandan Sedap
Oleh:Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 cawan tepung gandum - 90 gram
½ cawan gula - 90 grm
1 cawan air pandan - kisar dg 6 daun pandan) - 175 gm - jumlah air pandan dan santan adalah 350 gram
1 cawan santan - 175 gram
2 biji telur - 95 grm
Secubit garam - 2 grm
1-2 sud besar bijan
Cara cara:
Satukan semua bahan dan kacau rata sehingga sebati. Masukkan tepung gandum dan kacau rata.
Sapu loyang dengan mentega/minyak dan tapis adunan ke dalam loyang untuk memastikan tiada adunan yang berketul.
Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180 C selama 30-50 minit atau sehingga masak dan garing yang disukai. Selepas 10 minit, baru ditabur bijan dan sambung bakar. Nota: untuk mengelakkan bijan tenggelam.
Setelah benar benar sejuk, baru dipotong untuk mendapatkan potongan yang cantik.
Selamat mencuba…






Catat Ulasan for "Kuih Bakar Pandan Sedap Dan Iftar Di London"
Add your comment