Lontong Dan Ujian Kesihatan
Saya masih dalam keadaan tidak berapa sihat sejak kembali dari mengerjakan umrah beberapa hari lepas. Semasa di sana, badan rasa panas sejuk bersilih ganti, mungkin sebab demam dan juga sebab kekurangan air kerana berpuasa.
Bila berbuka, saya minum air zam zam dan membaca doa zam zam memohon diangkat segala kesakitan dan diberikan kesembuhan. Alhamdulillah, ianya berkurangan dan saya kekal bertahan.
Namun di saat kesakitan, saya memantapkan ingatan dan keyakinan bahawa setiap kesakitan dan ujian menimpa kita adalah kerana Allah ingin menghapuskan dosa dosa kita. Ini janji Allah. Hatta terpijak duri sekali pun.
Bagi kita manusia yang banyak melakukan dosa, pengampunan dosa dan diberikan syurga tanpa hisab adalah segala galanya yang kita inginkan. Tidak lagi dunia yang akan kita tinggalkan.
Tenaga pun dah tak larat kalau na bercuti ke sana sini. Nak bawa handbag mahal pun, tangan dah berkedut. Jadi apa lagi yang kita cari di dunia ini? Cukuplah sekadar dapat makan minum dan dapat sedikit wang untuk belanja dan juga bersedekah dan berinfaq. Betul tak? Ok setakat ini dahulu, kita masuk pula bab masakan.
Saya hidangkan kuah lodeh dengan nasi impit yang dibuat sendiri untuk berbuka puasa. Memang lah sedap. Tapi di London ni, susah nak cari bahan bahan tradisional untuk buat kuah lodeh macam tempe, tauhu semua. Saya tak lah pulak pergi cari ke kedai Oriental. Jadi saya guna apa bahan yang ada sahaja.
Lagi satu kubis bulat di sini susah nak cari yang sama macam tempat kita. Memang lain, daunnya keras dan rasanya juga lain. Lama kena rebus untuk bagi ianya lembut. Kalau ada yah nak mencuba, gunalah sayuran dan bahan yang tersedia di tempat masing masing.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…
Kuah Lodeh dan Lontong
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
Kubis bulat
Kacang buncis – potong serong
Lobak merah – potong bulat
2 biji cili merah – hiris
Bahan lain:
1 pek pucuk + suhun
1 pek tempe – digoreng
1 pek tauhu – digoreng
Bahan kisar:
1 genggam ikan bilis
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji bawang besar
1 sudu besar cili kering kisar
Bahan lain;
2 kotak santan kotak
1 liter air
1 sudu kecil garam
Serbuk perasa
2 sudu besar susu pekat manis - guna 1 sudu besar gula
Minyak untuk menumis
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan cili kering kisar sehingga terbit minyak.
Masukkan semua bahan sayuran dimulai dengan yang keras sehingga yang lembut.
Masukkan fucuk dan sedikit air dan masak sehingga mendidih dan sayuran lembut.
Masukkan santan dan semua bahan perasa. Masak sehingga mendidih dan bolehlah ditutup api.
Nota:
Saya hidangkan dengan nasi impit, sambal ikan bilis dan telur rebus sahaja.





Catat Ulasan for "Lontong Dan Ujian Kesihatan"
Add your comment