Ayam Masak Merah Lauk Kenduri Kelantan
Saya Insya Allah pagi esok, kami akan bertolak untuk mengerjakan umrah. Doakan agar dipermudahkan semua urusan kami sepanjang permusafiran untuk ibadah umrah ini.
Saya ingin kongsikan petikan dari video Tokku Pasir Gudang bab sakit saat sakaratul maut. Sakit yang paling sakit yang dilalui oleh beriman dan kita semua ialah sakit saat kematian. Kesakitan ini tidak dapat kita bayangkan.
Apa yang patut kita buat. Dengan berdoa. Ada 3 perkara yang patut kita buat dalam menghadapi saat kematian. Yang pertama ialah berdoa pada Allah. Memohon rahmatNya, memohon pertolonganNya. Bermunajat padaNya, Ya Allah ringankan kesakitan saat menghadapi sakaratul maut. Sebagaimana kita memohon bermacam macam dalam bab dunia, mohon pangkat, mohon harta mohon jodoh, mohon zuriat dsb. Tapi kita lupa 1 perkara iaitu keringanan saat kematian.
Kedua, memperbanyakkan amalan soleh. Jangan selektif, jangan pilih pilih, ada peluang buat amal soleh, buat. Ada ruang untuk sedekah, maka sedekah lah sedikit sebanyak. Allah panjangkan umur sehingga Ramadhan, maka banyakkan buat amalan soleh kerana Ramadhan adalah lubuk pahala. Kurangkan permusuhan kita dengan manusia. Hilangkan kelalaian, jauhkan maksiat. Sebut nama Allah banyak banyak dan perbanyakkan ketaatan.
Ketiga, mohonlah doa orang orang beriman dan doa orang soleh untuk kita. Kita banyak mohon bantuan orang dalam hal duniawi. Minta tolong tukar tayar, tolong basuh kereta dsb, jadi minta tolong orang untuk doakan agar diringankan sakaratul maut saya. Cuba cakap dengan kawan yang baik, yang soleh, yang rabbani, tuan guru boleh tak doakan saya mudah mudahan Allah ringankan sakaratul maut saya.
Saya bimbang saya tak mampu, saya bimbang ia terlalu kuat sehingga saya lemah. Biarlah kebergantungan saya pada Allah tetap kembang subur. Kalau saya bimbang pada anak anak saya, bimbang pada kefakiran, saya patut lebih bimbang pada sakaratul maut saya.
Ok semoga bermanafaat. Jangan lupakan doakan agar dipermudahkan semua urusan kami dan dipermudahkan saat sakaratul maut kami seperti yang diajar oleh Tokku Pasir Gudang di atas. Aamiin.
Saya memang rindu dengan lauk pauk kenduri Kelantan. Kakak sulung saya memang suka mengadakan kenduri di rumah dengan memasak sendiri. Biasanya akan diupah orang yang pakar atau dipanggil jong gulai untuk datang memasak dengan yang lain sama sama membantu.
Dia memang tak suka menggunakan khidmat caterer, jadi lauk pauk semua sedap sedap. Selain lauk kenduri biasa seperti gulai kawah dan ayam masak merah, ada juga teresek, solok lado, sira labu, daging goreng kunyit dll.
Bila dah lama tak makan lauk kenduri, saya call lah kakak untuk menanyakan cara memasak versi kenduri. Yang pasti tak sama dengan memasak untuk makan sendiri. Antaranya untuk lauk ayam masak merah ialah ayam akan direbus dulu supaya cepat masak bila digoreng dan tahan lama.
Menggunakan bahan yang simple tapi kesedapan makanan yang kita makan di kampung sangat lah dirindui. Ini cara kenduri rumah kakak saya. Tiada sos tomato atau sos tiram dsb.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Janga lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba.....
Ayam Masak Merah Lauk Kenduri Kelantan
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
5 ketul ayam
Sehiris halia
Garam
Serbuk kunyit
Bahan kisar:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
Bahan lain:
2 sudu besar cili kering kisar
1 sudu besar sos cili
¼ sudu kecil pes asam jawa
½ sudu kecil garam halus
2 ½ sudu besar gula
½ biji bawang Holland - hiris
Cara cara:
Lumur ayam dengan garam dan serbuk kunyit. Masukkan ke dalam periuk dengan air dan halia. Rebus segingga masak. Angkat dan ketepikan.
Panaskan minyak dan goreng ayam seketika sahaja. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan minyak sama, tumis bahan kisar sehingga terbit minyak, baru dimasukkan cili kering kisar.
Tumis sehingga benar benar masak dan garing. Baru masukkan pes asam jawa, garam, gula dan sos cili. Kacau rata.
Masukkan ayam goreng dan akhir sekali masukkan bawang Holland. Kacau sehingga bawang separuh layu, boleh tutup api.
Angkat dan sedia untuk dihidangkan.
Nota:
Sedap juga dihidangkan dengan nasi minyak.





Catat Ulasan for "Ayam Masak Merah Lauk Kenduri Kelantan"
Add your comment