Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Asam Pedas Ikan Pari Dan Ibadah Umrah



Alhamdulillah hari ini hari keempat saya dan anak menantu dan cucu cucu berada di Mekah kerana mengerjakan umrah. Setelah 2 tahun tidak ke sini, memang ketara juga dari segi kecergasan walaupun di London saya banyak berjalan kaki. 

Namun kita beribadah dengan ikhlas dan mengikut kemampuan diri. Apa apa pun saya sangat bersyukur kerana telah dipermudahkan urusan. Lagi pula kali ini saya membawa cucu cucu, keseronokan menjadi berganda. Letih pun tidak terasa. 

Saya menganggap ibadah umrah saya kali ini adalah rezeki Allah yang tidak disangka sangka yang didatangkan melalui anak saya, Nana dan menantu saya. Saya sangat bersyukur dengan anugerah ini. 

Semoga Allah memberikan rezeki yang murah dan barakah kepada mereka dan semua anak anak saya yang lain. Aamiin. Secara jujur mereka sangat bermurah dan tidak berkira untuk membelanjakan wang ringgit untuk saya. Memberikan wang belanja, membelikan pakaian saya, telekung saya dan macam macam lagi. 

Bukan kerana mereka banyak duit berlebihan tapi kerana mereka tahu keberkatan rezeki Allah. Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan rezeki ini. OK sekarang kita masuk pula bab masakan. 


Saya menyediakan lauk ini masa saya balik ke Malaysia penghujung taun 2025 baru baru ini. Memang masak bermacam macam sebab rindukan masakan Malaysia yang tidak boleh dimasak di London. 

Husband dan anak anak memuji sedap
Lauk asam pedas saya hari ini. Alhamdulillah. Memang happy bila mereka suka apa yang kita masak. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…


Asam Pedas Ikan Pari
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Ikan pari
3 sudu besar cili kering kisar
Asam jawa - saiz bola ping pong
1 sudu kecil garam halus
Serbuk perasa - jika suka
Minyak masak

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
6 ulas bawang putih
1 inci halia
½ inci kunyit hidup
Sedikit belacan - opsyenal

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis cili kering kisar sehingga agak garing, baru masukkan bahan kisar. Tumis lagi sehingga benar benar garing dan terbit minyak. Masukkan air dan tumis lagi. Boleh ulang beberapa kali proses ini. 

Kemudian masukkan air asam jawa. Masukkan air secukupnya. Masukkan garam. Masak sehingga mendidih. 

Boleh masukkan bahan lain seperti daun kesum, bunga kantan, jika suka.

Setelah mendidih, masukkan ikan dan kacang bendi. Masak sehingga ikan masak dan kacang bendi hampir lembut. Boleh tutup api. 


Selamat mencuba semua….

Catat Ulasan for "Asam Pedas Ikan Pari Dan Ibadah Umrah"