Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Tumis Udang Petai Dan Ujian

 


Saya sekarang memang mencari nasihat untuk hidup saya. Kadang kadang saya bercakap sendirian supaya hati berada di landasan yang benar. Maklum hati sentiasa berbolak balik. Supaya hati tidak terleka dengan dunia yang memperdayakan. 

Tiada nilainya dunia di sis Allah. Jadi jangan tertipu. Bayangkan solat sunat sebelum Subuh 2 rakaat bernilai lebih besar dari dunia dan isinya. Apa sahaja yang menjadi milik kita di dunia? Tak ada. Lihat sahaja kita yang ada rumah pun, masih kena bayar cukai pintu, kena bayar cukai tanah. Kalau tak bayar, akan disita. Jadi tak perlu lah nak hidup di dunia seolah tiada hari akhirat. Sebaliknya jadikan dunia sebagai ladang untuk bercucuk tanam untuk hari akhirat. 

Selain setiap hari saya dan kawan kawan mengamalkan selawat sebanyak 1000 kali setiap hari, saya juga banyak merujuk kepada video video ustaz dan ustazah untuk menjadikan hati lebih tenang dari memikirkan sebarang permasalahan. 

Sebagai manusia kita memang tidak kuat bila diuji tapi percayalah Allah tidak akan memberikan ujian yang tidak mampu kita tanggung. Jadi yakin lah di sebalik ujian adanya kesenangan dan hikmah. 

Allah bila sayang seorang hamba, Allah akan menguji keimanan hambaNya. Sesiapa yang redha dan sabar dengan ujian, akan diberikan pahala, diberikan Rahmat dan diberikan hidayah. Ulang ulang baca doa ini Innaalillaahi wainnaa Ilaihiroojiuun. Allahummaj Jurni Fii Musiibati, Wa akhliflii, Qhairaan Minhaa. Insya Allah hati akan menjadi tenang, sakit dan sesak di dada akan kembali sembuh. Setakat ini dahulu, semoga bermanafaat. 


Saya memang rindu betul nak makan petai. Di London memang tak pernah jumpa petai. Mungkin ada di kedai Oriental tapi saya tak benar benar mencari kerana Nana tak makan petai. Kalau di London, kena cari sotong dan sotong pula tak ada jenis macam tempat kita. 

Yang ada sotong kurus panjang yang frozen. Memang tak berapa berminat bila melihatnya. Untung kita dok di Malaysia ni. Macam macam ada. Semua seafood fresh. Sana tengok ikan pun jadi tak lalu, sebab macam tak kenal ikan dan jenis macam ikan berlendir sisiknya. 

Di sana saya banyak memasak sambal tumis udang untuk Nana dan cucu cucu. Saya tak makan udang kerana takut allergik. Maklum berada di negara orang ni, kena jaga kesihatan, jaga pemakanan. 

Sistem kesihatan di sana berbeza dengan tempat kita. Nak jumpa doktor untuk demam pun, boleh memakan masa seminggu. Bila tiba waktu appointment, demam pun dah baik. Nak beli ubat pun tak boleh tanpa preskripsi dari doktor. Haa betapa untungnya kita di sini. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…


Sambal Udang Petai
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Udang - lumur garam dan serbuk kunyit
Isi petai secukupnya
10-12 sudu besar cili kering kisar

Bahan kisar:
2 biji bawang besar
Segenggam bawang putih

Bahan perasa:
Pes asam Jawa
Garam
Gula

Cara cara:
Masak bahan kisar dan cili kering kisar sehingga air kering. 

Panaskan minyak dan goreng petai sehingga layu. Angkat dan ketepikan. 

Goreng pula udang yang telah dilumur dengam garam dan serbuk kunyit sehingga separuh masak. Angkat dan ketepikan. 

Tuang minyak gorengan udang ke dalam kuali bahan sambal dan tumis atas api sederhana sehingga garing dan terbit minyak. Masukkan air dan tumis sehingga terbit minyak lagi. Nota: boleh ulang proses ini beberapa kali. 

Masukkan bahan perasa secukup rasa. Masukkan udang dan petai yang telah digoreng. Kacau rata dan tutup api. 


Selamat mencuba…






Catat Ulasan for "Sambal Tumis Udang Petai Dan Ujian"