Sambal Tumis Sotong Dan Bab Memasak Untuk Keluarga
Saya sebelum bertolak balik ke London, saya menyediakan beberapa lauk sekali gus. Menggunakan bahan bahan yang ada dalam freezer. Lauk yang siap dimasak akan dimasukkan ke dalam bekas dan disimpan di dalam peti untuk anak anak makan.
Sebagai ibu yang berkerjaya, saya memahami masalah memasak selepas balik dari pejabat. Saya selama 23 tahun pertama, memang dibantu oleh pembantu rumah untuk urusan rumah termasuk kerja kerja di dapur. Ibu berkerjaya tidak akan mengumpat anak menantu yang tidak memasak, lagi lagi ketika anak anak masih kecil.
Sepanjang saya di sana, bukan sahaja Aween tapi Juita dan Faiq juga ada balik makan tengahari di rumah. Itulah kalau diikutkan hati, mahu rasa nya untuk tak balik ke London kerana di sini pun ada orang anak yang menunggu untuk saya memasak makan malam mereka. Mereka balik kerja, dah penat untuk memasak. Tapi memikirkan di London juga, Nana perlu juga dibantu di dapur. Balik kerja memang dia dah kepenatan walaupun dia boleh jer memasak. Lagi pula ada Ammar dan Aliya yang saya rindui.
Aliya juga rindukan saya. Asyik menempel jer dengan saya dengan pelbagai cerita sehingga kita pun dah tak tahu nak layan dia bercakap macam mana. Dah 2 malam dia tidur dengan saya. Terjaga dari tidur, dia akan terus memanggil saya walaupun mata masih terpejam.
Setiap kali selepas solat, tak sempat nak berzikir dia dah lompat atas riba. Berulang kali Aliya cakap, I missed Tok Mama. Budak budak tidak pandai berbohong akan perasaan mereka. Malahan ketika keluar ke Spitalfields pun bila naik bas, dia nak duduk dengan saya dan siap memegang tangan saya sepanjang perjalanan.
Selepas balik dari Scotland hari tu, memang tak sempat pun nak duduk dengan dia kerana selepas beberapa jam saya dah bertolak ke airport. Semasa menghantar saya ke Heathrow pun, dia masih tidur dalam kereta.
Saya beli sotong yang memang ada telur, saya dah mesej siap siap penjual ikan di pasar Taman Tun untuk memilih hanya sotong yang ada telur. Separuh saya dah masak kicap dan baki yang separuh ini saya masak sambal tumis.
Kalau sotong, memang tak banyak pilihan kerana saya suka rasa sotong. Jadi masakan mesti yang simple supaya tidak menghilangkan kemanisan rasa sotong. itu pada selera saya lah.
Jom layan resipi dan cara penyediaan nya di bawah ini. Selamat mencuba.....
Sambal Tumis Sotong
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
500 gram sotong
Garam
Pes asam jawa
Gula secukup rasa
Minyak masak
Bahan kisar:
2-3 biji bawang besar - saiz besar
Segenggam bawang putih
5 sudu besar cili kering kisar
Cara cara:
Masukkan sotong ke dalam kuali (tanpa minyak) dan masak sehingga air sotong keluar. Tapis dan ketepikan sotong. Air sotong boleh digunakan untuk dimasukkan ke dalam sambal.
Masukkan semua bahan kisar ke dalam kuali dan masak sehingga air kering. Tuang minyak masak dan tumis seperti biasa sehingga sambal benar benar masak dan terbit minyak. Boleh masukkan air sedikit demi sedikit dan tumis lagi sehingga terbit minyak. Boleh ulang proses ini bagi memastikan sambal masak.
Masukkan garam, gula dan pes asam jawa secukupnya. Setelah sambal masak sempurna dan terbit minyak, masukkan sedikit air supaya lebih basah dan masukkan sotong.
Masak sehingga sotong masak (terutama telur di dalamnya). Nota: jika suka, boleh masukkan bawang hiris ketika ini. Kacau sehingga bawang layu.
Nota:
Memasak sotong tidak boleh terlalu lama, nanti akan jadi liat seperti plastik pula.
Matikan air sotong dan angkat. Setelah sambal masak dan terbit minyak, baru dimasukkan sotong ke dalam sambal.
Jika suka petai, boleh goreng petai seketika dan angkat. Setelah sambal masak, baru masukkan sotong dan petai.
Memasak sambal, perlu menggunakan minyak yang banyak supaya sambal masak sempurna. Boleh ceduk minyak berlebihan dan digunakan untuk menggoreng nasi, mee hoon dsb.



Catat Ulasan for "Sambal Tumis Sotong Dan Bab Memasak Untuk Keluarga"
Add your comment