Nasi Goreng Daging Dan Ujian Hidup
Saya sentiasa berdoa agar Allah membantu saya menjadi seorang yang sentiasa sabar dan redha saat diuji dan sentiasa bersyukur saat di beri nikmat. Bila diuji kita menangis kesakitan dan dada sesak, melihat dunia terasa betapa kerdil dan hinanya diri ini.
Tetapi sebaik ujian hilang, kesakitan pun hilang. Kita akan kembali ke asal. Itu yang saya takuti kerana ujian adalah tandanya Allah sayang. Ujian adalah bila Allah hendak memberi pahala, rahmat dan hidayah. Allah tidak akan menguji suatu yang di luar kemampuan kita. Ujian juga tidak lama. Ini yang saya pelajari saat diri diuji. Ini yang saya ulang ulang sebut saat ditimpa ujian.
Alhamdulillah perlahan lahan Allah memberikan jalan keluar. Sesuatu yang memang seperti miracle. Tapi dengan kehendak Allah, semua pasti terjadi. Apa yang telah ditakdirkan pasti akan berlaku mengikut aturannya seperti yang tertulis di luh mahfuz.
Doakan semoga saya terus menginsafi diri terus berbuat kebaikan sehingga ke akhir hayat. Aamiin.
Saya memang peminat nasi goreng, boleh makan nasi goreng pagi, tengahari dan malam pun OK. Bila tak berselera nak makan, saya akan makan nasi goreng. Jadi saya akan pelbagaikan cara memasak nasi goreng.
Secara jujur, saya suka nasi goreng yang lembab menggunakan nasi biasa. Bukan nasi dari beras basmathi tapi sebab sekarang memang hari hari makan nasi beras basmathi, jadi saya akan lebihkan air jika bercadang untuk memasak nasi goreng keesokannya.
Saya ni anak petani di mana kedua ibubapa saya menanam padi dan padi akan disimpan untuk kegunaan sehingga musim padi akan datang. Jadi memang tekak saya kuranglah sedikit dengan beras basmathi. Tapi sebab anak anak suka beras basmathi, kami menukarkan beras ini.
Teringat lagi Nelly masa kecil balik bercerita dia makan nasi rumah kawannya di mana nasi sangat sedap. Hahaha. Saya pulak ketika itu, beli beras dari Kelantan samada cap arnab atau cap rambutan.
Berbalik pada nasi goreng ini, saya suka yang lembab macam nasi goreng di Restoran Dolly Dim Sum tu. Saya masukkan juga sedikit minyak bijan, nak nasi goreng sedap, minyak kena lebih.
Nasi goreng saya hari ini memang sangat sedap sehingga saya menambah 3 kali. Haa sampai 3 kali. Boleh bayangkan macam mana obsess nya saya dengan nasi goreng.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Nasi Goreng Daging
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
Nasi putih
Garam
½ sudu kecil serbuk perasa - opsyenal
Segenggam daging - hiris nipis
Daun bawang
Sedikit minyak bijan
Tumbuk/kisar kasar:
2-3 biji bawang merah
3-4 ulas bawang putih
5 batang cili padi - ikut pedas disukai
Sejemput ikan bilis
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis sampai naik bau. Masukkan daging dan kacau sehingga daging empuk. Masukkan sedikit air dan tumis lagi sehingga terbit minyak.
Masukkan nasi putih sejuk, letak garam dan serbuk perasa dan gaul rata.
Tuang sedikit minyak bijan dan kacau rata.
Akhir sekali, tabur daun bawang. Sebelum hidang, tabur bawang goreng.
Nota:
Saya suka nasi goreng tidak kering. Jadi goreng nasi jangan lama lama, nanti kering. Bila asap keluar dari celah nasi tu maknanya dah masak dah tu.
Jika suka, tak perlu masukkan bawang merah pun OK. Lebihkan bawang putih.




Catat Ulasan for "Nasi Goreng Daging Dan Ujian Hidup"
Add your comment