Mee Hoon Goreng Dan Kebaikan Arwah Anak Saudara
Sejak pemergian ke rahmatullah anak saudara saya yang saya kongsi di SINI, saya seperti tidak bersemangat walaupun saya gembira kerana melihat sendiri wajah jenazah arwah yang seperti sedang ketawa seperti mana hayatnya. Hanya hari ini, saya mendapat sedikit kekuatan untuk menelefon kakak saya di kampung bertanyakan khabar. Kakak saya pun macam saya juga, mungkin lebih lagi kerana seorang ibu yang kehilangan anak lelaki yang paling rapat dan yang menjaga beliau.
Alhamdulillah saya diberitahu yang sejak keluar dari hospital 4 hari sebelum meninggal, rumah arwah tidak putus putus dikunjungi orang kampung dengan memberi pelbagai sedekah sehingga kutipan hampir RM6000. Begitu sayangnya mereka pada arwah.
Semasa hari di mana jenazah arwah disolatkan juga, orang ramai datang sehingga penuh kedua ruang tamu rumah untuk sama sama bersolat jenazah. Ramai yang tidak dapat naik ke rumah kerana ruang yang penuh. Alhamdulillah.
Saya juga diberitahu ketika sakit, masih lagi sempat arwah memberikan wang sebanyak RM8000 untuk adiknya mendapatkan rawatan IVF. Sangat prihatin dan mengambil berat. Saya juga dapat tahu ramai orang ada memimjam duit dengan arwah kira kira dalam RM60,000. Memang arwah sangat suka membantu orang dalam kesusahan. Cuma kepada yang berhutang dengan arwah, duit itu telah menjadi harta pusaka milik pewaris terutama anak arwah yang masih kecil. Jadi usahakan lah untuk membayarnya.
Daripada kisah arwah saya melihat bahawa kebaikan sesama manusia, kebaikan pada ibu dan keluarga adalah sangat besar ganjaran pahalanya. Allah memberikan kemudahan semasa arwah menghembuskan nafas terakhir. Semua aspek kehidupan kita adalah ibadah, bukan hanya perlu berada di tikar solat semata.
Saya menyediakan mee hoon goreng ini ketika Juita dan Faiq berada di London. Mereka yang membawa mee hoon ini dari Malaysia. Kalau di sini, memang saya tak jumpa lagi mee hoon yang sedap bila digoreng. Tidak sama dengan mee hoon di tempat kita.
Resipi mee hoon ini yang menjadi kegemaran saya ketika ini. Kalau masak memang akan masak seperti ini. Lagi lebih mudah kerana lebih cepat cilinya masak berbanding menggunakan cili kering yang dikisar. Meh lah sama sama cuba.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Mee Hoon Goreng
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
½ bungkus mee hoon - 175 gram
2 sudu besar sos cili
1 sudu kecil garam
2 sudu besar gula
1 biji telur
Sayur
Daging/ayam/udang
Bahan kisar kasar:
Segenggam bawang putih
Segenggam ikan bilis
1-2 jemput cili kering
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga nampak garing, masukkan sedikit air supaya tidak terlalu kering.
Masukkan daging/ayam atau apa apa yang disukai. Masak sehingga empuk. Tambah air untuk daging empuk. Masak sehingga terbit minyak.
Masukkan sayur dan kacau rata. Masukkan telur dan kacau rata. Masukkan dalam 1 cawan air dan masak sehingga mendidih. Masukkan sos cili, garam dan gula.
Akhir sekali, masukkan mee hoon yang telah direndam sektika sahaja. Kacau rata sehingga mee hoon lembut dan terbit minyak. Tutup api. Tabur daun bawang dan bawang goreng.
Hidang dengan ayam goreng lagi sedap.





Catat Ulasan for "Mee Hoon Goreng Dan Kebaikan Arwah Anak Saudara"
Add your comment