Nasi Goreng Cina Dan Doa Buat Anak Saudara Saya
Saya ingin berkongsi kesedihan saya dengan follower semua dan semoga anda semua dapat mendoakan agar Allah memberikan keringanan pada apa yang ditanggung oleh kami sekeluarga. Malam tadi, waktu terjaga dari tidur, saya baca mesej dari Wahidah, isteri anak saudara yang membuatkan saya terus berdoa, Ya Allah ringankan lah kesakitan anak buah saya. Dari malam tadi sehingga sekarang saya tidak dapat menahan sebak dan kesedihan.
Awal Ogos baru baru ini, saya mendapat panggilan telefon (video call) dari anak saudara kesayangan saya, Ruzman Ismail bersama kakak saya memberitahu yang dia dah 2 bulan tidak sihat dan akan membuat pemeriksaan dan scanning di HUSM Kubang Kerian. Dia adalah anak kedua dari 5 beradik yang semuanya lelaki. Anak saudara saya yang kedua. Seperti biasa lah, untuk dapat appoinment di hospital mengambil masa yang lama.
Sejak itu, saya sentiasa bertanyakan perkembangan dan kemudian dimaklumkan pertengahan September, beliau telah ditahan di ward dan kemudian perut telah ditebuk untuk mengeluarkan air di dalam perut.
Sejak itu, pemeriksaan lanjut dibuat yang mengesahkan beliau mengidap kanser di tahap yang advanced. Pastinya berita itu membuatkan saya sangat sedih. Setiap selepas solat, saya berdoa agar beliau diberikan kesembuhan.
Saya menjadi sangat insaf kerana betapa kehidupan kita sangat singkat, jadi kita kena sentiasa berbuat kebaikan. Ini yang dikatakan sihat sebelum sakit. Bayangkan ketika bertemu di majlis perkahwinan Juita pada 18-19 April yang lalu, dia masih sihat. Walaupun isterinya tidak dapat hadir, beliau hadir membawa kakak saya ke majlis pernikahan dan persandingan Juita sesuatu yang saya sangat terharu dan hargai.
Anak saudara saya ini seorang yang banyak membantu saya dari dia masih muda lagi. Saat saya membina kehidupan, biasalah bila kita mengalami kesulitan wang untuk pelbagai urusan. Dia lah yang menjadi “banker” saya. Bila mahu membeli apa apa dari Kelantan, dialah yang akan saya call. Dia akan beli dan pos pada saya. Bila balik Kelantan dan saya teringin nak makan apa apa, dia lah yang akan belikan untuk saya supaya bila sampai jer di sana, saya boleh terus makan.
Bukan sahaja dengan saya, dia juga sangat pemurah dengan sesiapa sahaja. Dia berniaga ayam segar di pasar Jelawat. Bila ada orang membeli ayam untuk kenduri dan sebagai nya, pasti dia akan menyelit seekor dua ayam untuk sedekah dari dia. Bila dengar masjid perlukan bantuan, dia dengan laju akan memberikan sedekah.
Bila emaknya yang juga kakak saya kesedihan kerana kehilangan barang kemas, dia tiba tiba jer menghadiahkan barang kemas berharga RM10 ribu sebagai ganti demi melihat emaknya kembali gembira.
Masya Allah terlalu banyak kebaikan dia. Tahun lepas, beliau telah mengerjakan umrah dan kemudian pergi pula mengerjakan Haji dalam tahun yang sama. Pastinya Allah sangat merahmati beliau. Sesunguhnya saya bersaksi, dia seorang anak buah yang terlalu baik dan suka membantu. Ampunilah dia Ya Allah, berikan lah keringanan dan permudahkan urusan dia Ya Allah.
Saya menjadi sangat sedih kerana dia telah menjadi sebahagian dari hidup saya. Tolonglah sama sama doakan agar dipermudahkan segala urusan anak buah saya, diberikan keringanan dari kesakitan yang dialami. Aamiin.
Saya menyediakan nasi goreng Cina ini pun dalam saat saya kesedihan. Saya merasakan betapa kerdilnya diri ini dan kita tidak pasti aturan hidup kita melainkan sentiasa bersedia sementara masih diberikan peluang dan kesempatan.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…
Nasi Goreng Cina
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
Nasi putih sejuk
3 biji telur - pukul seketika
4-5 ulas bawang putih
Daun bawang
Bahan perasa:
Garam
Serbuk pati ayam
Serbuk lada putih
Minyak bijan - opsyenal
Bahan lain:
Isi ayam
Udang - jika suka
Kacang panjang
Karot
Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng isi ayam, udang, karot dan kacang panjang selama 2-3 minit. Angkat dan ketepikan.
Panaskan minyak masak dan sedikir minyak bijan dalam kuali dan tumis bawang putih sehingga naik bau. Masukkan telur dan kacau rata.
Masukkan nasi dan kacau rata. Masukkan semua bahan perasa.
Akhir sekali masukkan daun bawnag dan bahan yang telah digoreng.
Sebelum tutup api, masukkan sedikit lagi minyak bijan.
Sebelum dihidangkan, tabur bawang goreng premium Azie Kitchen.
Selamat mencuba…
Catat Ulasan for "Nasi Goreng Cina Dan Doa Buat Anak Saudara Saya"
Add your comment