Memetik Buah Epal di Maidstone Pada 31 Ogos 2025
Alhamdulillah kita sambung lagi catatan perjalanan kami ke Kent. Selepas melawat ladang sunflower di Castle Farm di SINI dan Maze Moon di SINI, kami kemudian ke ladang epal di Maidstone. Video boleh klik di SINI.
Ketika kami sampai, hujan mulai turun rintik rintik. Dalam hati, saya berdoa supaya hujan berhenti. Alhamdulillah ketika kami keluar dari kereta, hujan dah berhenti.
Sebaik ke kaunter untuk mengambil bakul, saya dah tak sabar terus ke pokok epal di belakang kaunter yang memang lebat buahnya tapi belum sedia untuk dipetik. Lagi pun kata staf di situ, epal ini khas untuk dibuat jus.
Yang lagi seronok tengok pokok epal yang kecil sahaja, tapi buah sangat lebat dan berwarna merah maroon. Adooi bestnya kalau dapat tanam sepokok epal seperti ini. Boleh tengok gambar di bawah.
Tiada yuran masuk dikenakan. Kita hanya perlu membayar buah epal yang kita petik sahaja. Ianya akan ditimbang dan harga ialah £3.99 sekilo.
Hari ini adalah hari akhir ladang epal dibuka untuk Pick Your Own (PYO) dan selepas ini akan ditutup sehingga bulan Oktober tahun hadapan. Ada farm lain yang PYO hanya dibuka pada 5 September. Tapi ketika itu, Nelly dah balik Malaysia. Jadi kami buat keputusan untuk ke sini walaupun epalnya dah penghujung musim.
Kami berjalan dan masuk ke lorong yang telah ditetapkan. Banyak epal yang berwarna hijau kekuningan dan kemerahan. Buahnya besar besar bersaiz lebih dari genggaman orang dewasa.
Tak banyak pokok epal yang berwarna merah. Kami memilih pokok yang epalnya berwarna merah berkilat. Selain itu, ianya cantik untuk bergambar berbanding epal warna hijau. Epal merah ini ialah Discovery yang isinya juga ada tompok warna kemerahan. Ianya adalah early season epal yang paling awal sedia untuk dipetik, iaitu seawal pertengahan bulan Ogos setiap tahun.
Masya Allah seronok tengok buah epal yang lebat dengan pokok rendah dan rendang. Jadi boleh dicapai dengan tangan sahaja. Buah buah rendahnya sahaja. Jadi Ammar dan Aliya boleh petik sendiri.
Selepas bergambar, kami mula memetik epal yang kami akan bawa balik. Ada yang buruk, kami buang sahaja.
Ada juga victoria plum yang dah habis musim. Sebelum balik saya singgah petik buah plum. Saya petik hanya 6 biji jer, dah dikenakan sebanyak £0.70. OK lah sebab buahnya sangat sedap dan cari di supermarket, tak jumpa pun. Rasanya saya pun tak pernah makan buah plum sebelum ini.
Kemudian berjalan ke kaunter untuk timbang dan bayar. Semua £16.00. Nana juga beli air jus epal yang dijual di situ. Epal yang kami petik ini sangat sedap dengan berwarna merah maroon dan isinya juga ada tompok kemerahan. Ada rasa dan aroma strawberry pun ya. Bila dah ranum, isinya lebih lembut halus.
Masya Allah syukur kepada Illahi kerana pengalaman saya di ladang epal ini akan menjadi kenangan terindah seumur hidup saya selepas berpuluh tahun bercita cita untuk merasainya. Seingat saya dari anak anak masih kecil lagi. Maklumlah epal biasanya dipetik bulan September dan Oktober. Tapi bulan bulan tersebut adalah bulan sibuk di pejabat, jadi saya memang tidak pernah bercuti lama lama waktu itu.
Terima kasih kepada Nana yang telah menrealisasikan hasrat saya. Kos untuk ke sini bukan sikit sikit, maklumlah sewa kereta pun dah berapa, belum lagi kos untuk minyak petrol dan makan minum.
Semoga Allah melimpahkan anakanda saya dengan rezeki yang melimpah ruah dan seluas langit dan bumi. Sehingga bertemu lagi, salam sayang buat semua.....
















Ya Allah bestnya. Wishlist saya juga ni. Semuga ada rezeki dapat pergi petik buah epal
BalasPadamWah..alhamdulillah rezeki makan epal, angur free nampaknya..
BalasPadamMana ada free. Kena bayar lah buah yg kita petik dan bawa balik
BalasPadam