Cekodok Pisang Buat Nellisa
Hari ini hari terakhir Nelly di London, pagi esok beliau akan berangkat balik ke Malaysia. Pastinya itu saat yang menyedihkan bagi saya. Dengan baki masa beberapa jam lagi, saya dah mula terasa sebak dan sedih.
Saya memang sedih bila ditinggalkan, maksudnya bila ada orang akan meninggalkan saya. Sama juga ketika arwah ibu atau adik beradik datang berkunjung ke rumah saya, saat mereka nak balik adalah saat menyedihkan bagi saya. Siapa yang macam saya?
Nelly tidak dapat bercuti lama kerana cuti tahunan pun dah tak banyak. Januari hari tu, Nelly juga ikut ke London dan Wales untuk majlis konvokesyen Aween. Jadi banyaklah cuti tahunan yang telah digunakan. Inilah dilema saya dulu, waktu masih bekerja. Terpaksa berjimat dengan cuti tahunan dan merancang percutian dengan sebaiknya.
Semasa Nelly di sini, saya banyak menghabiskan masa keluar shopping dan makan makan dengan dia. Insya Allah saya akan kongsikan di entri akan datang. Nana bekerja dan juga terpaksa menyimpan cuti untuk kami berjalan jalan sementara masih di UK.
Untuk sarapan pagi ini saya menyediakan cekodok pisang kerana masih ada mee goreng semalam yang masih sedap dimakan. Selepas ini, lama lah lagi dapat makan mee goreng sedap menggunakan mee kuning dari Malaysia. Mee telur di sini, tak berapa kena dengan selera saya untuk menggantikan mee kuning. Kalau nak makan sahaja, OK lah. Bukan saat kerinduan nak makan mee goreng Malaysia.
Saya memang rindukan rumah saya, rindukan Malaysia, rindu masakan Malaysia terutama masakan Kelantan, tapi saya mahu berubah angin buat sementara waktu. Semua perasaan rindu terpaksa diketepikan.
Saya pernah terbaca satu tulisan di mana kata ustaz ustaz berasaskan cerita Nabi Yusuf, berhijrahlah bila kecil hati atau jauh hati dengan famili. Insya Allah hati akan kembali tenang. Jadi setiap perubahan perlu dilakukan untuk mendapat hasil yang berbeza. OK setakat ini dahulu.
Pisang di London ni tak banyak jenis macam tempat kita ada pelbagai jenis dan baka pisang. Di sini, masuk kedai atau supermarket, sama jer pisangnya. Pisang untuk dimasak cekodok mestilah pisang yang benar benar masak, baru sedap dan manis.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Cekodok Pisang
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
4 biji pisang
3-4 sudu besar gula
Sedikit gula
4 sudu besar tepung naik sendiri
7 sudu besar tepung gandum
Cara cara:
Lenyek pisang dan masukkan garam dan gula. Kacau rata.
Masukkan tepung gandum dan kacau sebati.
Panaskan minyak sehingga panas dan ceduk adunan menggunakan sudu. Goreng sehingga keperangan. Balik balikkan supaya masak rata dan sekata.
Angkat dan tos atas tisu dapur. Sedia untuk dinikmati.
Catat Ulasan for "Cekodok Pisang Buat Nellisa "
Add your comment