Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Masak Kicap Dan Kes Zara Qairina



Saya memang menjadi sangat sangat sedih, terkilan dan benci dalam masa yang sama melihat cara pengurusan kes kematian zalim arwah adik Zara Qairina. Benci pada pelaku dan mereka yang bersubahat dalam kes pembunuhan ini. Bayang kan hari ini dah masuk 3 minggu, belum ada tahanan reman lagi. 

Sepatutnya tahanan reman adalah sebahagian dari proses siasatan. Tangkap dan tahan jer beberapa orang bagi membantu siasatan, pasti ada tahanan yang akan memberi info dan akan membawa kepada penahanan yang lain. 

Ini cara lebih mudah dan cepat untuk mendapat info. Sergah jer, pasti ada yang terkencing. Macam mana cuba berdolak dalih pasti terperangkap jika cerita cuba direka. Lagi lagi budak sekolah. 

Kalau sekadar ambil statement, balik rumah bergembira dan boleh bermesyuarat bagai. Apa citer. Skrip dan jalan cerita drama baru pun boleh digarap dan disiapkan. 

Hari tu semua diam menikus. Siap posing senyum senyum kambing lagi. Membisu tanpa sebarang kenyataan kerana mengingatkan rakyat semua boleh diperbodohkan. Rakyat siap diugut lagi kononnya kesalahan jika menyebarkan fitnah. 

Kalau tak fitnah dan tak mahu spekulasi tersebar, kenalah pihak bertanggungjawab menjawab kepada persoalan yang diresahkan iaitu kes cuba ditutup dan didiamkan. Buktinya jelas kes cuba ditutup, sehingga kini tiada laporan polis dibuat oleh pihak sekolah, tiada post mortem sebelum dikebumikan. 

Kes bukan lah komplikated pun. Kes berlaku di kawasan sekolah dengan ramai yang boleh menjadi saksi. Saya pasti ramai yang masih jujur dan tidak hamak untuk menutup mulut atas sebab tertentu. 

Setelah rakyat seluruh negara bangkit termasuk rakyat dari negara jiran juga sama sama menyokong dan bersolidariti, barulah mula nak bangun dari tidur. Beberapa orang menteri yang sebelum ini memberi kenyataan siasatan telah selesai, kini sekali lagi memberi kenyataan siasatan telah selesai setelah post mortem selesai. Macam mana siasatan dikatakan selesai, kalau post mortem pun tidak dibuat. 

Hanya baru sekarang, masing masing nak bersuara kononnya siasatan akan dilakukan dengan telus. Itu pun setelah bedah siasat telah siap dilakukan. Bila jasad yang digali masih utuh tanpa menyusahkan urusan post mortem. Jadi naratif terjun dan jatuh dari tingkat 3 mungkin tidak lagi relevan. Realiti bahawa arwah mati kerana dibuli akan terbongkar. 

Kita tengok jer wayang seterusnya bila masing masing tak mengaku anak pulak kerana selepas established kes buli, pastinya selepas ini ialah siapa yang membuli dan siapa yang bersubahat dengan kes buli atau bersubahat menutup kes buli yang membawa kepada kematian. 

Kami yakin kuasa wang dan kuasa tidak mampu mengatasi kuasa Allah. Itu yang berlaku pada Qarun dan Firaun yang merupakan lambang harta dan kuasa bila masing masing ditenggelam bumi dan ditelan laut Merah. Kerana pelaku dan mereka yang bersubahat juga adalah makhluk yang diciptakan Allah. Ok setakat ini dahulu. 



Saya kalau memasak, akan memilih resipi yang menggunakan bahan simple dan memasak yang mudah tapi tetap sedap. Benda boleh dipermudahkan buat apa nak susah susahkan? 

Antara yang biasa memasak ialah ayam masak kicap yang menjadi kesukaan anak dan cucu cucu saya. Tapi saya ubah ubah lah resipinya. Masak kicap ni kan ada pelbagai versi, boleh guna cili hidup, ada guna cili kering, ada pekat  dan ada jenis berkuah. Macam macam, jadi tukar tukar lah supaya tak memjemukan. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Ayam Masak Kicap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
300 gram ayam
Garam
Serbuk kunyit

Bahan kisar:
1 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan sos:
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
Kicap lemak manis secukupnya 

Bahan lain:
1-2 sudu besar cili kering kisar
Sedikit pes asam jawa
Serbuk pati ayam - opsyenal
½ biji bawang Holland
3-4 biji cili padi

Cara cara:
Goreng ayam yang telah dilumur dengan garam dan serbuk kunyit. Angkat dan ketepikan.

Menggunakan minyak sama (buang sedikit, jika berlebihan) dan tumis bahan kisar dan cili kering kisar sehingga terbit minyak. 

Masukkan pes asam jawa dan bahan sos. Kacau rata. 

Masukkan ayam goreng dan kacau rata sehingga ayam sebati dengan bahan tumis. Masukkan air secukupnya, ikut banyak mana kuah yang disukai. 

Akhir sekali, masukkan serbuk pati ayam, bawang Holland dan cili padi. Kacau rata dan sedia untuk dinikmati. 




Catat Ulasan for "Ayam Masak Kicap Dan Kes Zara Qairina "