Gulai Nasi Berlauk Kelantan Dan Bab Kematian
Saya ingin kongsikan petikan dari video Tokku Pasir Gudang bab kematian. Kematian adalah perkara yang kita sangat takuti walaupun ada orang yang tak takut dengan kematian. Ada seorang boss tempat kerja, bila saya cakap takutnya mati bila kami bercakap topik berkaitan dengan kematian sebelum mesyuarat bermula. Dia kata kenapa nak takut dengan mati. I tak takut. Hmm saya pun diam jer lah. Dia boss tak guna argue walaupun topik tidak berkaitan dengan urusan kerja.
Begitu juga dengan bekas pembantu rumah kami, dia kata kenapa nak takut dengan mati, Tok Ma. Semua orang akan mati. Kalau ada dosa pun, Allah kan Maha Pengampun. Sangat positif kata katanya tapi saya masih rasa takut. Takut ada dosa yang belum terampun, takut amalan belum cukup, takut dengan pertanggungjawaban pada apa yang kita lakukan semasa hidup di dunia ini.
OK untuk kali ini, video Tokku Pasir Gudang ini sangat menarik. Nasihat yang paling baik untuk kita dengar ialah nasihat kematian. Dengarlah nasihat tentang kematian. Siapa pun kita, apa pun pangkat kita, bagaimana pun kita dihormati dan popular, ingat mati adalah penasihat kita supaya kita tak meninggi diri.
Kematian itu bukan sekadar memberi maksud merendah diri tapi lebih dari itu. Dalam tanah terus. Orang kata jangan pandang langit sangat tapi tengok ke bawah. Tengok lagi bawah dari itu. Sebab itu kubur berkata kalau orang tu orang baik, semasa kamu berada di atas ku, kamu adalah sebaik manusia, hari ini aku akan tunjukkan ucapan selamat datang kepada kamu dengan sebaik nya.
Kalau kamu sombong, bumi akan berkata kamu lah orang paling sombong berjalan atas muka bumi. Nanti kamu datang pada ku, tau lah apa yang aku akan lakukan pada kamu. Itu lah bicara tanah bumi di tempat kita bakal bersemadi. Biar kematian menjadi bicara biasa kita supaya kita terus merendah diri dan terus lembut hati mendengar nasihat dan terus bersungguh sungguh melakukan amalan akhirat tanpa menunda dan menempuhkannya.
Mengingati mati adalah salah satu cara untuk menghilangkan kelazatan hidup. Bila ingat mati, semua kelazatan dunia akan hilang. Pangkat YM Tun Tan Sri, rumah 40 bilik tidur, kereta Lamborghini ferrari, bag Hermès Himalayan crocodile Birkin, jam Patek Philippe semua tak ada makna. Semuanya adalah liabiliti yang ada proses audit di sana. OK setakat ini dahulu, semoga bermanafaat.
Semasa nak makan pulut pagi dengan kelapa parut, saya rebus 3 ekor ikan kembung. Masih ada lagi baki 2 ekor dan saya simpan di dalam freezer. Kalau ikan rebus, memang kesukaan saya samada untuk digulai atau digoreng garing.
Tiba tiba ternampak nasi lemak, nasi berlauk dan nasi dagang yang dijual di dalam facebook. Aduhaai teringatlah pula. Kat sini kalau nak makan, kenalah masak sendiri. Jadi saya pun masuk ke dapur dan mula memasak gulai nasi berlauk. Ini yang paling mudah, tinggal masak nasi jer. Sambal jate memang dah ada di dalam peti ais.
Alhamdulillah sedap sangat dan rasalah macam nasi berlauk walaupun ianya tidak berbungkus. Untuk rasa authentic nasi berlauk, tak boleh makan dengan lauk lain dah. Kena yang ni jer, dah cukup. Kalau makan lauk lain, dah lari lah sedikit rasanya nasi yang bergaul dengan sambal dan kuah gulai.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Gulai Nasi Berlauk Kelantan
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
2 ekor ikan rebus
1 sudu kecil cili kering kisar
Santan secukupnya
Garam
Sedikit gula
1 keping asam keping
Kacang panjang/timun
Cili solok/cili padi
Bahan kisar:
3 biji bawang merah
½ sudu kecil serbuk kunyit - guna kunyit hidup lagi sedap
1-2 inci lengkuas
Cara cara:
Rebus ikan dengan garam dan asam keping. Jika suka, boleh masukkan sedikit cuka untuk isi ikan lebih pejal dan tidak mudah hancur. Setelah mendidih, tutup api dan biarkan semalaman.
Masak santan sehingga mendidih. Masukkan bahan kisar dan kacau rata sehingga mendidih sekali lagi.
Masuk asam keping, garam dan sedikit gula.
Akhir sekali, masuk ikan rebus dan kacang panjang dan cili hidup. Masak atas api sederhana sehingga mendidih dan merenih atas dapur seketika. Masak sehingga rasanya sebati.
Sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih dan sambal Jate Kelantan. Selamat mencuba.
Nota:
Ikan direbus dan dibiarkan semalaman, baru diguna akan lebih sedap.
Lagi sedap jika nasi dan lauk serta kuah dan sambal dibungkus di dalam kertas pembungkusan nasi lemak. Aromanya akan menjadi seperti nasi berlauk pagi yang dibeli di kedai makan.
Catat Ulasan for "Gulai Nasi Berlauk Kelantan Dan Bab Kematian"
Add your comment