Kuah Kacang Istimewa Di Bermondsey
Assalamualaikum kepada semua follower saya tidak kira di mana berada. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua yang akan disambut esok di Malaysia.
Saya doakan agar anda semua dipermudahkan segala urusan dan selamat dalam perjalanan, terutama mereka yang balik beraya di kampung halaman.
Saya memasak kuah kacang ini pada hari raya Aidil Adha untuk dimakan pada hari raya. Saya tidak dapat menyediakan sebelumnya kerana Nana bekerja. Hanya pada pagi raya, kami dapat keluar ke Tesco di Surrey Quays untuk mencari bahan bahan yang diperlukan untuk memasak.
Nak beli barang banyak terus, tak muat pulak peti ais sebab peti ais di sini terutama di bahagian freezer memang kecil jer. Cukup untuk masuk makanan kegemaran Ammar dan Aliya.
Balik dari Tesco saya terus masuk ke dapur dan mula sangai kacang tanah dan menyediakan bahan bahan lain. Kacang tanah kat sini, punya lah sedap. Sambil sangai atas dapur, sambil saya meratah makan. Kacang tanah jenis kulit berwarna merah gelap. Bukan kacang tanah yang kat tempat kita.
Siap jer masak, saya terus makan seorang diri kerana Nana keluar untuk temujanji. Serious lah, sedap sungguh sambal kacang ni. Aduhaai masuk bakul angkat sendiri. Tapi sebelum keluar, saya minta Nana merasa dulu. Maklum di sini, gulanya tak semanis gula di tempat kita. Saya pulak suka manis, takutkan terlebih manis anak menantu tak suka pula. Begitu juga garamnya.
Jangan lupa untuk mencuba resipi kuah kacang istimewa saya ini. Kalau dapat daging korban, bolehlah guna untuk kuah kacang ini. Dah lebih 30 tahun, saya menggunakan resipi ini yang saya belajar dari guru Al Quran saya, Kak Kamariah ketika beliau masih bekerja di Bank Negara Malaysia. Selain menggunakan daging, boleh juga menggunakan ayam. Tapi saya lebih suka daging.
Kuah kacang ini dihidangkan dengan nasi impit jer. Saya memang bawa nasi impit ni dari Malaysia. Plannya nak makan nasi impit dengan rendang. Saya sediakan rendang ayam menggunakan pes rendang Azie Kitchen. Mudah dan cepat, cuma tambah santan dan daun kunyit jer.
Hanya pagi ini, baru Nana minta disediakan sekali kuah kacang. Lagi pulak kuah kacang adalah makanan kegemaran Ammar. Apa apa pun, Alhamdulillah bila ada kuah kacang, nasi impit dan rendang, barulah rasa macam beraya.
Di rumah KD pula, Mia menyediakan rendang juga menggunakan pes rendang Azie Kitchen dan ayam masak merah. Juita memang beritahu saya yang dia nak masak rendang tapi Juita tak dapat discharge awal dari Sunway Medical Centre. Doakan semoga Juita dipermudahkan segala urusan beliau.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Kuah Kacang Istimewa Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan
1 kg daging - potong kecil dan rebus
500 gram kacang tanah
½ cawan cili kisar - 3 sudu besar
½ sudu kecil pes asam jawa
1 cawan gula pasir
1 ketul gula Melaka
1-2 sudu kecil garam halus
3/4 - 1 cawan minyak mazola
Bahan kisar:
2 biji bawang besar - 10 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
4 batang serai
Cara cara:
Kacang tanah disangai tanpa minyak atau dibakar di dalam oven atau air fryer 160C selama 40 minit. Buang kulit dan dikisar. Ketepikan sedikit untuk ditumbuk supaya tidak terlalu hancur.
Masukkan kacang kisar ke dalam periuk dan tuang sedikit air. Masak dengan api perlahan sehingga kacang kembang. Ianya bertujuan supaya kacang tanah tidak menyerap perisa kuah kacang dan kuah tidak menjadi cepat kering.
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi, masukkan cili kisar, tumis lagi sehingga bahan tumis benar benar masak dan terbit minyak. Masukkan air dan tumis lagi sehingga terbit minyak. Ulang beberapa kali proses ini.
Masukkan daging yang telah direbus dan kacau rata. Setelah mendidih, masukkan sedikit air rebusan daging, pes asam jawa, gula, gula Melaka, garam dan masak sehingga mendidih dan sedikit pekat.
Akhir sekali, masukkan kacang tanah. Masak atas api perlahan supaya kuah kacang bertukar warna gelap, nampak berminyak di permukaan dan pekat, barulah sedap.
Sesuaikan rasa dan kepekatannya. Setelah sejuk, kuah akan menjadi pekat. Kalau pekat, tambah air panas.
Nota:
Kuah kacang mesti ada rasa manis, baru sedap. Jika kurang manis, tambah gula sedikit demi sedikit.
Boleh dihidangkan dengan nasi impit dan hirisan timun serta bawang.
Nota:
Boleh masukkan dalam bekas bertutup kecil dan simpan dalam freezer untuk kegunaan akan datang.
Catat Ulasan for "Kuah Kacang Istimewa Di Bermondsey "
Add your comment