Kari Daging Pekat Di London
Assalamualaikum semua. Alhamdulillah kita bersua lagi. Jangan lupa untuk klik satu dua iklan yang keluar di blog saya tau. Kerjasama anda diucapkan jutaan terima kasih.
Saya sebaik bangun pagi tadi, baca satu artikel yang dikongsikan di group WhatsApp berkenaan Sunjay Kapur, seorang billionaire yang mati kerana disengat oleh seekor lebah ketika di padang polo.
Binatang kecil seperti itu, boleh menyebabkan kematian seorang manusia yang kaya raya. Menpunyai akses ke teknologi perubatan terbaik, makan makanan premium, naik jet peribadi. Tapi itu semua tidak mampu menghalang seekor lebah mennyengat sehingga jantungnya terhenti sekelip mata.
Ditulis juga bahawa beberapa jam sebelum itu, beliau telah mengucapkan takziah kepada mangsa nahas penerbangan Air India 171. Kemudiannya satu dunia pula mengucapkan takziah kepada beliau dan keluarganya.
Mati tidak mengenal kaya atau miskin atau status. Jadi jangan lah berbangga dengan kuasa, pangkat dengan harta berbillion kerana bila bila masa, boleh mati dan meninggalkan semua harta kekayaan dan pangkat. Semua akan dibungkus dalam kain kapan putih. Semua akan dipanggil jenazah.
Kemudiannya kita akan dipersoalkan dari mana mendapat kekayaan, ke mana ianya dibelanjakan. Alangkah malang jika, ianya diperolehi secara menggunakan pangkat dan kekuasaan.
Ketika itu, yang ada hanyalah penyesalan. Yang berbuat baik juga menyesal dan yang berbuat jahat juga menyesal. Yang baik menyesal kerana tidak berbuat lebih banyak lagi kebaikan. OK setakat ini dahulu. Jom masuk bab resipi pula.
Memasak di London ni agak mencabar juga kerana bahan yang sama menghasilkan hasil berbeza. Contohnya bawang, santan dan tepung gandum. Memang kena buat percubaan juga untuk menghasilkan masakan dan kuih muih yang sedap sesuai dengan bahan di sini.
Saya makan roti canai dan kuah kari sangat sedap di Restoran Cafe Rasa Malaysia di Westfield Stratford. Ownernya Puan Noor Azlina telah memberikan saya santan yang digunakan untuk memasak di restoran beliau yang katanya lebih ber krim dan sedap.
Santan dari Thailand yang lebih mahal harganya. Kari beliau pekat berlemak, terbit minyak cantik dan secukup rasanya. Kari yang tidak bergenang dengan lapisan minyak di permukaan. Kari seperti ini memang sedap dimakan dengan roti jala atau roti canai.
Beliau juga kongsikan jenis jenis santan yang sedap dan sesuai digunakan untuk satu satu masakan di sini. Katanya tidak semua santan yang dijual di Tesco sedap dan sesuai dengan masakan kita.
Hmm patut lah saya memasak rendang hari tu, warnanya jadi lain macam kurang santan sehingga Nana menegur kenapa warna rendang saya di sini tidak sama dengan rendang yang dimasak oleh Mia menggunakan pes rendang Azie Kitchen juga.
Hasilnya memang lain dengan santan tin yang saya guna sebelum ini. Santan lebih sekata dan berlemak. Santan tin yang saya guna sebelum ini, boleh lihat lemak santan beku di permukaan atas dan di bawahnya cair seperti air. Santan kurang berlemak.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Kari Daging Pekat
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
300-500 gram daging
2 biji ubi kentang
200 ml santan
Gula Melaka
Garam
Gula
Pes asam jawa
2-3 sudu besar rempah kari
1 sudu besar kerisik - opsyenal
Bahan hiris:
1 biji bawang besar
4-5 ulas bawang putih
1 inci halia
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris sehingga naik bau. Nota: jika ada rempah tumis seperti kulit kayu manis buah pelaga bunga lawang, boleh masukkan.
Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan air. Masak sehingga air kering dan terbit minyak.
Masukkan santan dan kacau rata sehingga terbit minyak.
Masukkan daging dan kentang. Kacau rata dan masak sehingga terbit minyak.
Setelah terbit minyak, masukkan air secukupnya untuk daging masak empuk.
Masukkan garam, gula, gula Melaka dan pes asam jawa. Masak sehingga kuah terbit minyak cantik.
Masukkan kerisik. Sesuaikan rasa. Sesuaikan kepekatan kuah kerana setelah sejuk, kuah akan lebih pekat. Boleh tutup api.
Selamat mencuba semua….
Catat Ulasan for "Kari Daging Pekat Di London"
Add your comment