Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kari Daging Bebiri (Lamb) Tanpa Serbuk Kari Dan santan



Saya rasa ramai antara kita tidak jelas sangat perbezaan antara lamb dan mutton. Termasuk lah saya sendiri. Ini adalah kerana dalam bahasa Melayu, kita panggil daging kambing sahaja. Sebab di tempat kita, jarang ada kambing biri biri iaitu dalam bahasa Inggeris adalah sheep. 

Lamb adalah istilah yang digunakan bagi anak kambing biri-biri yang berusia kurang daripada 1 tahun. Ia biasanya disembelih ketika berusia di antara 4 hingga 12 bulan. Apabila dagingnya diproses di bawah usia setahun, daging kambing ini menjadi sangat lembut dan tersangat kurang lemak. 

Ia mempunyai warna yang lebih cerah bermula dari merah jambu kepada merah pucat. Dari segi rasanya pula, lamb mempunyai rasa yang sederhana, menjadikannya sangat serba guna kerana tidak terlalu kuat. 

Mutton pula ialah kambing biri-biri dewasa, yang berusia 1 tahun dan ke atas. Ia biasanya disembelih pada usia antara 2 hingga 3 tahun. Mutton mempunyai warna merah yang lebih pekat dan gelap. 

Teksturnya lebih kenyal dan mengandungi lemak yang lebih tinggi berbanding lamb. Bahagian yang paling popular dan biasa digunakan adalah kaki dan bahu, namun dagingnya yang agak liat membuatkan ia perlu direbus bagi melembutkannya.

Jadi lamb dan mutton kedua duanya adalah daging dari kambing jenis biri biri tapi berbeza usia. Manakala satu jenis lagi ialah spesis kambing yang dipanggil dalam bahasa Inggeris sebagai goat. Tapi dalam bahasa Melayu, dipanggil daging kambing jer.



Saya makan lauk ini masa ke Cardiff di rumah Umi Anne Januari 2025 lalu ketika menghadiri majlis konvokesyen Aween di sana. Masa tu, saya tak lalu makan kerana dah kekenyangan dan keletihan serta mengantuk kerana hari dah gelap. Musim winter pukul 5.00 petang dah macam 8.00 malam. Jadi secara auto kita jadi mengantuk. 

Keesokan paginya, baru saya makan cicah dengan roti sebagai sarapan. Masa tu baru rasa, alahai sedap lah pulak. Memang tak ada rasa macam daging kambing yang biasa ada di tempat kita. Lembut pulak dagingnya. 

Dah lama tertangguh nak masak lauk ini kerana anak anak tak makan daging ini. Kedua kerana di Malaysia susah nak cari daging lamb. 

Di UK, memang banyak daging bebiri ni. Nana kata kalau mama nak makan, beli lah selepas dia tengok saya beberapa kali dok membelek daging ni. Mama boleh makan dengan Alain. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Kari Daging Tanpa Serbuk Kari
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
500 gram daging biri biri
2 biji bawang besar - hiris kasar
4 biji buah tomato - cincang
1 sudu kecil penuh serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu besar cili kering kisar
1 sudu kecil garam atau secukup rasa
Daun ketumbar - opsyenal
Cili padi - opsyenal
Minyak masak

Bahan kisar:
1 inci halia
6 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang hiris sehingga layu. Masukkan halia dan bawang putih yang dikisar. 

Kacau rata dan masukkan pula cili kering kisar. Tumis sehingga cili garing dan terbit minyak.

Masukkan buah tomato yang dicincang. Kacau rata sambil dilenyek dengan senduk untuk menghancurkannya. 

Setelah tomato cincang hancur, masukkan serbuk ketumbar dan serbuk kunyit.  Kacau sebati. 


Masukkan daging dan kacau rata sehingga air daging kering dan terbit minyak. Masukkan air untuk masak sehingga daging empuk. Masukkan garam secukup rasa.



Masak sehingga kuah pekat disukai dan terbit minyak. 

Jika suka pedas, masuk cili padi. Akhir sekali, masukkan daun ketumbar. 

Nota:
Tak guna asam dan santan. Rasa masam dari buah tomato sahaja. 

Kalau suka masukkan satu sudu garam masala. Tak ada, tak perlu masuk. 

Lebih sedap guna lamb bahagian bahu atau daging bahagian tulang. 


Catat Ulasan for "Kari Daging Bebiri (Lamb) Tanpa Serbuk Kari Dan santan"