Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Goreng Berlado Dan Hari Arafah



Saya di London, hari Arafah adalah esok hari iaitu hari Khamis. Jadi saya kongsikan kelebihan hari Arafah dari petikan video Tokku Pasir Gudang. Raya di sini ialah hari Jumaat. Jadi kita akan  berpuasa pada esok hari iaitu hari Khamis. Jadi malam ini,  dah start dengan qiyam, bermunajat dikuti dengan segala doa doa dan hajat kita. 

Di sini sekarang waktu malam sangat pendek. Waktu Maghrib ialah pukul 9.30 malam. Qiyam bermula selepas masuk waktu Maghrib. Malam yang pendek ini harus diisi sebaiknya dengan memperbanyakkan selawat, zikir dan doa. Diikuti dengan makan sahur. Mengisi puasa esok dengan membaca al Quran, doa dan zikir sehinggalah tenggelam matahari  hari Arafah. 


Kemudian berbuka puasa dan hidupkan malam raya dengan pelbanyakkan takbir. Pagi raya kemudian menyaksikan penyembelihan korban. Saya mengadakan ibadah korban bersama kakak saya di Kelantan. Lembu kakak saya yang digunakan untuk korban setiap tahun sangat besar. Rasanya tahun lepas, 1 bahagian lembu dapat 21 kg daging. Kita kena pilih haiwan korban yang terbaik, yang cantik dan gemuk. Juita pula mengadakan korban seekor kambing, juga dengan kakak saya. 


Siapa yang belum lagi mengerjakan ibadah korban, hendaklah berazam bersungguh sungguh untuk mengerjakannya di tahun tahun akan datang. Saya berazam untuk mengadakan korban sepanjang hayat saya. Saya berdoa agar Allah memberikan rezeki untuk saya dan anak anak melakukannya setiap tahun. 


Cara kita mengagungkan dan memuliakan hari arafah ialah dengan berpuasa. Yang pergi Haji, Alhamdulillah. Yang tak pergi Haji macam kita juga, Alhamdulillah. Allah bagi peluang sama. Allah Taala tak pernah tutup dengan berikan peluang yang berbeza. Yang menghalang kita mendapat peluang yang sama ialah kejahilan kita. 


Kalau kita punya ilmu maka kita akan dapati bagaimana kalau kita tak dapat cara mengerjakan Haji, kita dapat cara lain. Kita tetap dapat kelebihan kelebihan hari Arafah. Kalau orang pergi haji diampunkan dosa kerana haji, maka kita diampunkan dosa kerana puasa. 


Kalau orang pergi haji ini mereka mendapat kemuliaan kemuliaan tertentu dari pergerakan ibadah mereka. Mereka yang tak pergi haji juga dapat kelebihan yang sama dari ibadah dan ketaatan yang kita lakukan pada hari tersebut. Bukan sekadar kita tengok sahaja orang yang mengerjakan Haji di Mekah. Jadi jom puasa, baca Al Quran, doa dan zikir tau. OK semoga kita semua mendapat keampunan dari segala dosa dan diberikan kejayaan dunia dan akhirat. Aamiin. 



Saya menyediakan sambal berlado setelah saya beli cili merah dan cili hijau yang kecil. Saya masih lagi banyak belajar tentang bahan masakan di sini. Cili kecil hijau yang saya beli, punyalah pedas menyala. Nasib baik tak letak dalam sambal berlado ni.

Apa apa pun, Alhamdulillah sedap lah juga walaupun menggunakan cili dan bawang di sini. Ayam nya pun pada saya macam lain rasanya dengan ayam di tempat kita. Itu pada saya lah. Ayam pulak tak banyak isi. Kecil kecil jer saiz pahanya.  

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…


Ayam Goreng Berlado
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
6 ketul ayam - lumur garam dan serbuk kunyit
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar gula
Sedikit garam
Asam keping

Bahan kisar kasar:
3 biji cili merah
1 biji bawang besar
3-4 ulas bawang putih
Sedikit halia

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng ayam sekadar masak. Angkat dan ketepikan. 


Menggunakan minyak yang sama, tumis bahan kisar sehingga masak. Masukkan sos tiram, garam dan gula. Setelah sebati, masukkan sedikit air. 



Akhir sekali, masukkan ayam. Nota: saya goreng juga 2 biji telur rebus. 




Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan. 


Catat Ulasan for "Ayam Goreng Berlado Dan Hari Arafah"