Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Cekodok Pisang Rastali



Alhamdulillah lama saya tak update blog kerana kesibukan dan saya sendiri pun tak berapa sihat kebelakangan ini. Selain itu, mood pun tak ada. Maklumlah nak menulis ni memang kena ada mood juga. 

Akhir bulan Disember, kami group alumni kolej Ketiga Universiti Malaya bercuti di kampung halaman besan kami di Kuala Kangsar. Rupanya banyak tempat menarik dan tempat makan sedap sedap di sana. 

Sebetulnya bila orang kampung memasak, mereka memasak seperti mana mereka nak makan sendiri. Ya lah segan lah orang makan masakan kita dan tak sedap. Sebab kita tahu siapa yang memasaknya. Berbeza dengan di bandar ni, masakan di gerai dan restoran dimasak oleh tukang masak yang dibayar gaji. Bukan oleh tuanpunya. Mereka pun tak kisah sangat sedap atau tidak kerana bukan ada yang kenal pun siapa yang memasaknya. 

Masa kami di sana, hidangan pagi nasi lemak dan kuih muih dimasak sendiri oleh Kak Nor, kakak ipar besan saya. Ada juga yang ditempah dari jiran mereka, Cikgu Mazlan yang memang pandai memasak. Nasi lemak yang disediakan memang benar benar sedap dan terasa seperti nasi lemak yang lemak dan beraroma. Bukan sahaja pandai memasak tapi juga sangat cerewet bab penggunaan bahan bahan. 

Seperti biasa, saya tak melepaskan peluang untuk mendapatkan nombor telefon dan berkenalan. Memang seronok bila bersembang dengan orang yang minat memasak. Terasa beliau sangat passionate dengan apa yang dihasilkan. Alhamdulillah sebab dia pun tak kedekut ilmu untuk berkongsi tips dan eksperimen beliau. 

Setakat ini dahulu, sekarang kita masuk pula bab resipi. Alaa cekodok pisang pun nak share? Hahaha tak kisahlah kan sebab tak semestinya semua orang pandai buat cekodok. Tak semua orang besar besar terus pandai memasak. Betul tak? Semoga ada yang mendapat manafaat. 


Saya masih menggunakan pisang rastali, kiranya masih dalam percubaan untuk merasai keenakan pisang ini yang dikatakan sangat sedap dimakan begitu sahaja, dibuat kek kerana kecantikan urat pisang dan juga cekodok. Saya bereksperimen dengan pisang rastali lah kali ini.


Sebelum ini, saya membuat pengat pisang dan rasanya sangat sedap. Saya suka pengat yang isinya lembut, masak dan manis. Bukan pisang yang bila digigit, masih pejal. Itu ikut selera saya lah. Lain orang lain citarasanya kan. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Cekodok Pisang
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
500 gm pisang ~ dilenyek - 8-9 biji
80 gm tepung beras - 5 sudu besar
80 gm tepung gandum - 5 sudu besar
½ sudu kecil soda bikarbonat
Secubit garam

2 sudu besar gula pasir

Cara cara:
Lenyek pisang, jangan terlalu hancur. Satukan semua bahan kecuali gula sehingga sebati. Setelah sebati, baru masukkan gula.

Biarkan adunan selama 10-15 minit sebelum digoreng. 


Goreng dalam minyak yang panas dan banyak. Untuk mendapatkan bentuk cekodok yang comel bulat-bulat, lepas masukkan ke dalam kuali, guna belakang sudip, gelek-gelek secara perlahan di permukaan cekodok.




Tos sehingga kering minyak. Sedia untuk dihidangkan.



Tips:
Jangan memasukkan gula pada saat awal mengadun tapi dimasukkan akhir bertujuan merangupkan tekstur cekodok anda.

Biarkan adunan selama 10-15 minit.





Catat Ulasan for "Cekodok Pisang Rastali"