Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Masak Lemak Ketam Dengan Nenas



Assalamualaikum semua. Apa khabar? Semoga semua berada dalam keadaan sihat walafiat bersama keluarga yang tersayang. Haa sebelum itu, jangan lupa klik iklan yang keluar di blog saya ini dan juga klik follow blog. Kerjasama anda didahului dengan ucapan jutaan terima kasih. 

Alhamdulillah hari ini yang juga bersempena hari Maulidur Rasul, kami bersama sama dengan kawan kawan geng alumni Kolej Ketiga Universiti Malaya yang dikenali sebagai ETHICA akan melakukan perjalanan dan berkumpul di Hotel Primula Kuala Terengganu untuk majlis perkahwinan anakanda Dato Wan Nazari dan Datin Ruzaini. Haa itu dia, panjang berjela dalam satu ayat. Kalau zaman sekolah pasti dah kena tegur dengan guru ni. 

Insya Allah kami akan “get together” di sana selama 2 malam. Di usia seperti kami, tiada yang lebih baik selain dari persahabatan dengan sahabat yang telah dikenali lebih 40 tahun. 

Saya teringat kuliah Zoom Tokku Pasir Gudang di mana kehidupan orang tua adalah sunyi. Sunyi bila ditinggalkan anak anak, apa lagi ditinggalkan pasangan buat selamanya dan juga sahabat rapat meninggal seorang demi seorang. 

Namun jika semasa muda kita menjaga Allah, di usia tua Allah akan menjaga kita. Caranya supaya kita tidak sunyi di datangkan sahabat sahabat yang walaupun bukan sebaya tapi rakan rakan muda yang umpama sebaya. Jadi kita masih diberikan nikmat persahabatan. 

Tengok sahaja rakan rakan di medsos yang mana terdiri dari pelbagai peringkat usia tapi saling berkongsi pengalaman dan kegembiraan. Itu sebagai contoh. 

Begitu juga rakan rakan di surau dan kejiranan yang boleh menjadi sahabat dalam sisa kehidupan kita. Insya Allah. Semoga bermanafaat. 


Saya tiba tiba teringatkan ketam, walaupun saya tak boleh makan ketam tapi saya suka nenas yang dimasak lemak bersama ketam. Jadi saya menghubungi seorang penjual ikan di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail. Puas hati beli di sini walaupun harganya sedikit mahal kerana banyak pilihan terutama makanan laut. 

Kalau di kedai runcit, memang susah nak dapat udang laut yang ada hanya udang kolam yang dibela. Entah kenapa sejak berumur selera saya lagi pelik. Lebih mudah terasa kalau makanan itu ada bau hamis atau hanyir. Memang tak lalu nak telan. Begitu juga dengan udang bela. 

Sekali terkena kadang sehingga berbulan teringat ingat akan rasanya. Hmm dulu dulu tak ada pun macam ni. Ini lah perubahan selera semakin kita berusia. Makan sekadar mengalas perut supaya tidak kena gastrik sahaja. 

Selain nenas, sedap juga dimasukkan belimbing buluh yang memberikan rasa masam masam pada masak lemak kita. Ada baki lagi nenas, ingat nak masak pajeri nenas Kelantan lah. Suka tak? Kalau suka, tunggu saya kongsikan entri resipi ini tau. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Masak Lemak Ketam Dengan Nenas 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan:
4 ekor ketam
1 batang serai - ketuk
1 helai daun kunyit 
½ biji nenas 
1 kotak santan - 1 biji kelapa parut
Garam
Serbuk perasa 

Bahan kisar:
2 biji bawang merah
5-6 biji cili padi - ikut kepedasan disukai
2 inci kunyit hidup

Cara cara:
Panaskan minyak. Tumis bahan kisar dan serai sehingga terbit minyak.


Masukkan ketam, nenas dan daun kunyit. Kemudian masukkan air dan sedikit santan atau masukkan santan cair. Masak sehingga mendidih. Masukkan garam dan serbuk perasa.


Akhir sekali, masukkan santan pekat. Biarkan mendidih seketika. Jika suka, masukkan cili hidup atau cili padi. Tutup api.


Catat Ulasan for "Masak Lemak Ketam Dengan Nenas"