Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Laksa Utara Sedap Menggunakan Periuk Noxxa




Assalamualaikum semua. Hari ini kita telah pun berada pada 1 Zulhijjah di mana 10 hari awal Zulhijjah adalah amat disukai Allah. Jika Ramadhan, malam adalah lebih baik tapi Zulhijjah adalah lebih baik siang harinya. Sebelum tu, jangan lupa klik iklan ya g keluar di atas blog saya ni tau. Terima kasih buat semua. 

Bulan ini terhimpun semua ibadah seperti Haji, umrah, korban, puasa, sedekah, zikir dan solat solat sunat. Jika mampu berpuasa, puasalah pada hari hari 10 awal Zulhijjah, jika tidak puasa pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah. Hari di mana Allah menjanjikan ganjaran penghapusan dosa selama 2 tahun. Alangkah rugi jika tidak mengambil peluang ini. 

Walaupun hari ini adalah hari menyedihkan buat saya, namun saya gembira kerana 4 pasangan sahabat kami sedang mengerjakan ibadah di Tanah Suci. Saya seorang yang tidak mudah menyerah kalah dan akan berusaha sedaya mungkin. 

Sehingga ke saat akhir, saya masih cuba mencari jalan keluar kepada permasalahan yang dihadapi. Namun akhirnya saya redha, jika ini lah takdirnya. Mungkin ada suatu yang lebih besar menanti kami. Saya yakin dengan hikmah di sebalik ujian bagi mereka yang sabar dan menerima ujian dengan redha. 

Berbalik pada sahabat saya, mudah mudahan mereka semua dan jemaah yang lain semuanya yang mengerjakan Haji pada tahun ini dikurniakan Haji yang mabrur, yang tiada baginya melainkan syurga. Seperti bayi yang baru lahir, disukai dan disayangi ramai orang yang melihatnya. Semalam kami menghantar mereka di KLIA, gembira dan sedih. Gembira melihat berseri seri wajah besan kami dengan berpakaian putih yang suci bersih. 


Sempena keberangkatan mereka, kami sepakat untuk berkumpul di rumah kami sebagai meraikan keberangkatan mereka ke Tanah Suci.OK jom kita masuk pula bab masakan. Saya belajar resipi laksa ni dah berpuluh tahun lamanya. Belajar dari kawan baik saya yang berasal dari Perlis. 

Laksa utara saya hari ini pertama kali saya menyediakannya dengan menggunakan periuk Noxxa dari mula merebus ikan, merebus laksa dan merebus telur. Kalau nak memasak kuah laksa dalam ni pun boleh, cuma ianya tak cukup besar kalau untuk dimasak dalam kuantiti yang banyak. 


Saya menyediakan laksa utara di samping kuih muih. Alhamdulillah kerana sahabat sahabat yang mengunjungi rumah kami suka dengan laksa yang saya sediakan hari ini. 

Suami dan anak menantu juga memuji dan mengatakan ianya sedap sekali. Kalau Nana memang payah sekali nak memuji masakan saya terutama masakan tradisional seperti ini. Tapi kali ini dia pun mengatakan sedap. Nana siap makan lagi selepas balik kerja keesokannya. 

Memang untuk laksa, lagi lama dimasak dan dibiarkan, akan jadi lebih sedap dan sebati rasanya. Kalau ada lebihan, boleh masukkan dalam bekas bekas dan disimpan di dalam freezer. Rasa nak makan, tinggal dipanaskan sahaja. 

Ulam ulaman untuk laksa ni terpulang pada masing masing. Ada yang suka daun selom. Jika suka pedas, boleh hiris cili padi. Jika suka juga, boleh sediakan petis udang. Saya guna yang mana ada di kedai sahaja. Susah nak cari daun selom di kedai runcit biasa. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….


Laksa Utara
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 kg ikan - buang kepala dan sirip
Sedikit garam

Masukkan dalam periuk Noxxa dan telan setting MEAT selama 45-50 minit. Cukup masa, keluarkan ikan dan terus kisar sekali dengan tulang. Tuang ke dalam periuk. 

Tambah air rebusan ikan dan air biasa sehingga mencukupi. Masak sehingga mendidih.


Bahan kisar:
2 biji bawang besar merah
7 biji bawang merah
1 ibu jari belacan - tak letak
½ senduk cili kisar - 5-6 sudu besar

Bahan lain:
15-20 keping asam keping
3 bunga kantan - belah 4
1 ikat daun kesum
Garam secukupnya

Tuang bahan kisar ke dalam periuk dan masukkan  asam keping dan garam. Masak atas api sederhana sehingga benar benar masak. Akhir sekali, masukkan bunga kantan dan daun kesum. 




Nota:
Biarkan kuah laksa semalaman. Sebelum makan, kuah laksa akan jadi lebih sedap jika dibiarkan semalaman. 

Jika mahu simpan lebih dari sehari, pastikan anda mendidihkan kuah setiap hari untuk mengelakkan kuah dari basi.


Rebus laksa kering
Masukkan air paras laksa ke dalam periuk Noxxa. Tak perlu rendam. Tekan setting Manual 8 minit. Setelah cukup masa, biarkan selama 30 minit lagi, baru dibuka. Angkat dan masukkan dalam air dan bilas. Tos dan sedia untuk dihidangkan. 

Nota: saya guna laksa kering jenama EKA. 


Rebus telur
Masukkan tisu dapur ke dalam periuk Noxxa dan susun telur dan tuang air setengah cawan. Pusing tombol pada pressure. Tekan setting manual 3 minit. Lepas masak, keluarkan telur dan rendam dalam air bagi memudahkan untuk dikupas kulit.



Bahan hiasan

Telur rebus - belah 2

Timun - hiris panjang

Salad/daun selom - hiris

Bawang besar - hiris

Cili hidup/cili padi - hiris

Limau kasturi - belah 2






Catat Ulasan for "Laksa Utara Sedap Menggunakan Periuk Noxxa"