Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Masak Kicap Mudah dan Sedap



Alhamdulillah hari ini kita diberi kesempatan untuk berada pada Hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah di Malaysia. Alhamdulillah kerana diberi kekuatan untuk berpuasa sunat Hari Arafah. Ada ketika rasa macam nak pitam pun ada. Maklum saya dah lebih 3 minggu tidak sihat selepas mengalami selsema dan batuk yang teruk. 

Puasa hari Arafah yang menjanjikan pengampunan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Kali pertama saya berdoa hari Arafah di Malaysia dengan linangan air mata yang hanya Allah sahaja tahu apa yang terkilan di hati. 

Dalam hidup ini banyak perkara yang saya terkilan. Dunia ni ramai manusia yang berlakun. Jadi tak perlu lah kita nak terpesona sangat dengan apa yang kita nampak di mata. Ada orang setiap tahun pergi ke Tanah Suci tapi akhlak tak menunjukkan akhlak seorang muslim atau muslimah yang rapat dengan Allah. 

Bila melihat gambar gambar dan video jemaah yang sedang berwukuf di Padang Arafah, hati ini menjadi rasa sangat rindu dengan Padang Arafah. Alangkah bertuahnya mereka yang sedang berada di bumi Arafah semalam. 

Padang Arafah adalah gambaran Padang Mahsyar di mana manusia akan dihitung dan dihisab amalannya semasa di dunia. Selalu dengar orang menulis haa merangkak lah cari aku di Padang Mahsyar. Bila melihat jutaan manusia di Padang Arafah pun rasanya susah untuk kita mencari seseorang, apalagi Padang Mahsyar yang menghimpunkan manusia dari zaman Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad. Bukan sahaja manusia tapi juga semua makhluk yang lain. 

Jadi tak payah lah berkait dengan manusia lain di sana. Jadi kita maafkan sahaja sesiapa yang telah melakukan perkara yang tidak sepatutnya pada kita. 

Walaupun pernah mengerjakan Haji, saya merasakan terlalu kekurangan ibadah yang telah dilakukan ketika itu. Walaupun saya berbulan bulan sebelum pergi telah belajar dan menghafal doa doa dan zikir. Ini adalah kerana persediaan mental dan ilmu berkenaan ibadah Haji yang perlu dihayati. Saya rasa saya kurang persediaan mental ketika itu. 

Contoh melihat manusia lain dengan rasa sayang sesama hamba Allah. Apalagi bila semua jemaah berpakaian ihram berwarna putih tanpa mengira kaya miskin atau marhaein atau bangsawan di sisi Allah. Di sisi Allah, hanya taqwa yang membezakan antara seorang dengan seorang yang lain. OK sekarang kita masuk pula bab masakan. 


Kalau jemu nak makan rendang dan makanan raya, kita boleh sediakan ayam masak kicap yang mudah dan sedap ini.  Confirm makan menambah nambah lah. 

Yang pasti anak anak suka kalau apa jua masakan yang berkicap. Menyediakannya  pun sangat mudah. Selain ayam, boleh juga menggantikan dengan ikan. Pun sedap.  

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba... 



Ayam Masak Kicap Mudah Dan Sedap
Oleh: Azie Kitchen  

Bahan bahan:
Ayam
1 sudu besar serbuk kunyit
Garam

Bahan A:
Cili padi merah dan hijau
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1-2 inci halia
1 kiub pati ayam

Bahan B:
Pes asam jawa + sedikit air 
2 sudu besar sos tiram
Sedikit garam
Kicap pekat karamel
Kicap manis 
1 biji limau kasturi - air

Cara cara:
Lumur ayam dengan sedikit garam. Panaskan minyak dan masukkan serbuk kunyit. Masukkan ayam dan goreng sehingga masak. Angkat dan ketepikan.



Keluarkan minyak berlebihan, tumis bahan A di atas. Kacau rata. Masukkan sos tiram, air asam jawa, serbuk perasa dan kicap manis dan kicap pekat karamel. Masukkan sedikit air. 


Setelah kuah pekat, masukkan ayam. 

Akhir sekali, perah limau kasturi. Kacau rata dan boleh tutup api. 




Catat Ulasan for "Ayam Masak Kicap Mudah dan Sedap"