Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Lontong Azie Kitchen



Saya semasa menghadiri majlis rumah terbuka Hajah Azurah, jiran baru kami, telah berkesempatan bertemu dengan negarawan Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah secara dekat dalam suasana santai. Biasanya saya bertemu mereka dalam suasana rasmi di majlis majlis yang menpunyai banyak protokol. 



Alhamdulillah rezeki kali ini kami dapat bertemu dengan Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah dan boleh beramah mesra dengan mereka tanpa ada protokol. Anak kami Nana dan Nelly serta cucu kami, Ammar dan Aliya juga berpeluang bergambar kenangan bersama mereka berdua. Pastinya gambar yang sangat bernilai buat kami. 

Gembira bila melihat mereka berdua yang masih sihat dan segak di usia yang hampir 100 tahun. Saya tidak pernah berjumpa orang tua yang berumur seperti mereka sebelum ini. Apa lagi mereka berdua masih sihat dan Tun M boleh berjalan sendiri. Saya yang masih muda dari mereka pun bila lama duduk, terasa juga sakit pinggang bila bangun. 

Satu lagi saya juga sangat kagum melihat keakraban dan silaturrahim mereka sekeluarga. Walaupun sekadar majlis rumah terbuka, Tun berdua tetap meluangkan masa untuk hadir di majlis anak saudara mereka. OK setakat ini dahulu, jom masuk bab masakan.



Minggu lepas Nelly minta saya masak untuk dibawa pot luck ke office. Masa dia beritahu, hari dah malam. Saya pulak berpuasa, jadi sedikit keletihan. 

Saya tak sampai hati nak hampakan dia, jadi saya pun jawab Ok. Selepas berbuka saya mula menyediakan sambal ikan bilis dan kuah lodeh. Sementara itu Nelly dan Nana ke kedai untuk beli bahan bahan yang tiada stock. 

Saya menyediakan rencah kuah lodeh, semua sayuran dengan menyiang dan mencelur. Simpan dalam bekas dan masuk dalam peti ais. Rendam fucuk siap siap. 

Keesokannya, sebelum solat subuh, saya turun untuk memanaskan kuah lodeh. Masukkan santan dan sayur sayuran, sohon dan fucuk. Saya menggoreng tempe dan tauhu. Semua disiapkan sebelum Nelly keluar rumah pukul 6.40 pagi. Alhamdulillah. 

Sementara ada lebihan sayur dan nasi impit, saya hari ini masak lagi kuah lodeh. Saya masukkan juga cendawan telinga kera dalam kuah lodeh. 

Tapi kali ini saya menumis rencah kuah untuk lebih menbangkitkan aroma. Saya juga menggantikan udang kering dengan ikan bilis kerana saya allergi dengan udang kering. 

Alhamdulillah sangat sedap. Kali ini saya hidang kuah lodeh dengan sambal sotong kembang. Makan menambah nambah juga lah walaupun masih kekenyangan. Nana dan Aliya juga makan lontong untuk makan malam. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…


Lontong Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
¼ biji kubis - potong halus

¼ biji sengkuang - potong panjang - tak letak

1 batang karot - potong panjang

6 batang kacang buncis

1 biji terung panjang  - tak letak

2 keping sayur fucuk - potong dan rendam

1 batang serai - ketuk

1 cawan udang hidup 

1 kotak santan kotak 

Garam secukup rasa

Serbuk kunyit - untuk warna

Minyak masak


Bahan B:

½ ikat soo hoon - rendam seketika

1 keping tempe - potong nipis dan goreng

1 keping tauhu - goreng dan potong nipis

1 biji cili merah - hiris


Bahan kisar:

5-6 biji bawang merah

2 ulas bawang putih

1 inci kunyit hidup

2-3 sudu besar ikan bilis - boleh juga guna udang kering


Cara cara:

Panaskan minyak masak dan tumis bahan kisar dan serai hingga naik bau dan terbit minyak. 



Masukkan air secukupnya. Masak sehingga mendidih, masukkan sayuran yang keras dulu. Masukkan cendawan telinga kera, fucuk dan karot. Masak sehingga mendidih sekali lagi. 

Masukkan semua sayur-sayuran kecuali suhun, pucuk, tempe dan tauhu. Masak sehingga sayur sedikit layu. 



Setelah mendidih, masukkan santan pekat dan air secukupnya mengikut kepekatan kuah yang disukai. Masukkan udang dan kacau rata. Masak sehingga mendidih. 


Akhir sekali, masukkan kacang bendi, suuhun, tempe, tauhu dan cili merah. Masak seketika sahaja. Masukkan garam secukup rasa. Nota: saya goreng tauhu dan tempe dan masukkan ke dalam pinggan hidangan kerana lebih suka rasanya yang rangup. 


Nota:
Untuk tahan lama, sediakan kuah tanpa santan. Ketika hendak makan, baru dimasukkan santan. Masak sehingga mendidih. 

Sayuran dicelur dan dimasukkan ke dalam pinggan sebelum dinikmati.



Catat Ulasan for "Lontong Azie Kitchen"