Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Terung Goreng Berlado



Ramadhan dah semakin meninggalkan kita, tanpa menunggu samada kita bersedia atau tidak. Seperti doa Rasulullah celakalah mereka yang memasuki bulan Ramadhan tapi tidak mendapat keampunan Allah. Maksudnya: Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. 

Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.  [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 907] 

Hadis ini bermaksud teramat rugi besar bagi mereka yang di dalam bulan Ramadhan tidak mendapat keampunan Allah. Ramai yang tidak bersungguh sungguh mengambil kesempatan untuk mendapat pengampunan. Jangan terkejut, ada yang tidak menunaikan solat Terawih pun walaupun Terawih hanya ada dalam bulan Ramadhan sahaja. 

Jadi masih ada berbaki beberapa hari, kena pulun habis habis, untuk mendapat keampunan Allah dan memburu malam Lailatul Qadr. Bersedekah dan berinfaq lah di malam malam terakhir Ramadhan ini untuk mendapat pahala bersedekah selama 1000 bulan. Lakukannya selepas masuk waktu Maghrib atau bila bila sahaja sebelum masuk waktu Subuh.


Resipi terung goreng berlado ini adalah resipi yang saya biasa gunakan untuk pelbagai jenis masakan berlado. Campak campak jer, dah sedap rasanya. 

Lauk terung berlado ni adalah lauk yang bila nampak jer, tak perlu fikir panjang untuk makan. Hahaha maksudnya kalau lauk sayuran lain, kita kena fikir nak ke tak nak, terutama di restoran lah. Ambilkan tak sedap, dah lah kena bayar. 

Sebab apa saya tulis macam tu, pertama sebab terung ni memang sedap bila digoreng, kedua sambal berlado ni memang sedap. Banyak yang sedap dari tak sedap kerana mudah, semua orang boleh masak dengan sedap tanpa bahan yang banyak. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba... 


Terung Goreng Berlado
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5 biji terung
½ sudu kecil garam 
1 sudu besar gula
1 keping asam keping
Minyak masak

Bahan kisar kasar:
2-3 biji cili merah
3 biji cili padi - jika suka pedas
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng terung sehingga lembut. Angkat dan ketepikan.


Keluarkan sedikit minyak berlebihan, tumis bahan tumbuk sehingga terbit minyak. Masukkan asam keping, garam dan gula secukup rasa.  Kacau rata dan tutup api.


Boleh tuang sambal di atas terung atau dimasukkan terung ke dalam kuali dan dikacau rata terpulang pada kesukaan masing masing.

Nota:
Boleh masukkan separuh biji buah tomato dalam bahan kisar sebagai ganti asam keping. 

Catat Ulasan for "Terung Goreng Berlado"