Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Daging Hari Raya Aidil Fitri 2024



Insya Allah, esok last kita akan berpuasa Ramadhan tahun ini. Kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada lusa, hari Rabu. Lembah Klang dah mula sunyi. Jalan mulai lengang. Jalan sesak menuju ke negeri negeri terutama di Pantai Timur. Macam macam umpat keji yang menghina rakyat negeri kelahiran ku. Sampah yang dibuang ditepi jalan pun dikaitkan dengan orang Kelantan. Ada ke patut orang nak balik kampung, sempat membuang sampah bertaburan. 

Sebenarnya umpama cubit paha kiri paha kanan pun terasa. Ada yang siap tanya soalan bodoh, sanggupkah orang luar kahwin dengan orang Kelantan. Kenapa orang Kelantan tak kerja di negeri sendiri? Mereka ni macam tak percaya qada qadr di mana jodoh ditentukan Allah agaknya. 

Hello yang dok di Lembah Klang ni semua asal dari sini ke? Menteri menteri tu semua asal dari sini ke? Semua orang KL dan Selangor ke? Ramai orang Kelantan yang berhijrah ke sini kerana menuntut di universiti dan bekerja di sini setelah menamatkan pengajian. 

Hahaha tak payah lah nak main kenegerian sangat. Apapun prasangka buruk orang luar pada orang Kelantan, saya tetap bangga menjadi anak Kelantan. Tak pernah malu menjadi anak Kelantan. Sebaliknya bangga kerana orang Kelantan rajin berniaga, pandai cari duit, putih cantik dan bersopan santun. 

Walaupun dah lebih 40 tahun menetap di sini, lebih dari separuh usia, saya tetap merasakan bahawa saya adalah anak Kelantan. Makanan kegemaran saya masih makanan Kelantan. Ok setakat ini, cuba lah muhasabah diri. Kalau berlainan negeri pun dijadikan isu, apa lagi berlainan bangsa dan agama. 


Saya hari ni memasak rendang daging untuk raya. Memasak lebih awal kerana saya akan simpan dalam bekas dan masukkan dalam freezer. 

Dikeluarkan portion untuk nak makan sahaja. Maklum lah raya ni banyak lauk pauk, jadi kalau dihidangkan semua, nanti mudah pula menjadi basi. Lagi pulak, masa raya malas nak memerap di dapur. 

Kalau anak anak rasa lapar, tinggal masak nasi dan keluarkan lauk pauk dari freezer sahaja. Lagi pula, kita nak berpuasa sunat Syawal pula mulai hari raya kedua, Insya Allah. 

Resipi hari ni sangat ringkas sebenarnya. Tak ada pun guna rempah rempah dan jintan. Saya masak yang mudah mudah jer. Yang penting sedap. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…


Rendang Daging Aidil Fitri 2024
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan bahan:

1 ½ kg daging

4 sudu besar cili kering kisar 

2 kotak santan + air secukupnya - guna ½ kg santan segar

1 ¼ cawan minyak masak


Bahan kisar:

3 biji bawang besar - 500 gram

8 ulas bawang putih - 50 gram

4 inci halia - 30 gram

2 inci lengkuas - 20 gram

6 batang serai

4 inci kunyit hidup


Bahan lain:

3 sudu besar kerisik 

1 sudu kecil serbuk perasa - opsyenal

1 sudu besar garam 

2 sudu besar gula - opsyenal 

4 helai daun limau purut - hiris

1 helai daun kunyit - hiris


Cara cara:

Panaskan minyak dan tumis sehingga naik bau, masukkan cili kisar. Masak sehingga bahan tumis terbit minyak. 

Setelah terbit minyak, baru masukkan daging. Kacau seketika dan masukkan air. 


Setelah daging empuk, baru masukkan santan. Masak sehingga kuah hampir kering dan terbit minyak. 

Masukkan kerisik dan perasakan. Akhir sekali, masukkan daun kunyit dan daun limau purut. Masak sehingga kering yang disukai. 


Boleh ceduk jika tak suka minyak berlebihan. Nota: jika dipanas berulang ulang, minyak akan kering dan lagi sedap. Rendang menjadi gelap keperangan seperti rendang daging minang. 





Catat Ulasan for "Rendang Daging Hari Raya Aidil Fitri 2024"