Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Ayam Untuk Hari Raya


Alhamdulillah esok kita akan menyambut Hari Raya Aildil Fitri, hari kemenangan kita berpuasa selama sebulan. Malam ini banyak amalan yang boleh kita lakukan sebagai malam yang memberikan kita banyak pahala. Antaranya ialah hadirlah solat berjemaah di masjid atau surau khususnya solat isyak dan subuh. Imarahkan dan meriahkan rumah Allah dengan ibadah. Jadikan sepertimana di bulan Ramadhan. 

Hiasilah malam hari raya dengan bertakbir. Inilah syiar yang perlu sentiasa diamalkan dan jangan ditinggalkan. Bangun 1/3 malam dan lakukan solat sunat. Penuhkan dengan ibadah-ibadah ketaatan yang lain seperti membaca Al-Quran, berzikir, bertasbih dan berdoa. Mohon pada Allah agar Allah memberikan pengampunan dan berdoa agar dipertemukan kembali dengan Ramadhan yang akan datang.

Saya menjadi sangat terkedu bila pagi pagi melihat video kemalangan yang melibatkan 2 kereta yang pada saya bermula dengan sikap ego, tidak bertimbang rasa dan saling panas baran. Akibatnya satu kereta yang mula menghimpit kereta lain telah terbabas.

Yang bawa kereta itu, memang patut lah kalau jadi apa apa pun pada mereka kerana akal mereka di letak di kepala lutut. Tapi bagaimana perasaan famili di dalam kereta. Tidak kah pemandu memikirkan famili orang lain di dalam kereta, kalau pun tidak mahu memikirkan famili sendiri. Akhirnya terbabas. Tak pasti apa yang terjadi seterusnya, ada yang kata pemandu meninggal dunia. Tapi ada satu yang sahih. 

Dalam keadaan sedang berpuasa, bagaimana tidak ada kesabaran. Sedangkan puasa melatih diri untuk menjadi lebih sabar. Rasulullah pernah berpesan, riwayat Imam Nawawi dalam kitab Al-Adzkar mengatakan: "Termasuk yang dianjurkan adalah jika seseorang dicela oleh orang lain atau diajak berkelahi ketika dia sedang berpuasa, maka katakanlah: "Inni shaa-imun, inni shaa-imun" (aku sedang puasa, aku sedang puasa) sebanyak dua kali. Jadi kalau ada yang cuba menyakiti atau mengajak kita untuk berkelahi, cuma katakan sesungguhnya aku sedang berpuasa. 

Sepatutnya elok elok berhari raya, sekarang dah menjadi kes polis. Kalau tidak di hospital, ada di balai. Kan susah jadinya. Macam mana nak menunjukkan contoh yang baik pada anak anak kalau ketua keluarga berperangai seperti itu. Tak kiralah siapa yang salah dan siapa yang mula provoke dulu. Jika berpegang kepada sesungguhnya aku sedang berpuasa, kita akan redha dan bersabar. 


Kalau semalam saya dah sediakan rendang daging, hari ini saya sediakan rendang ayam yang pernah saya sediakan sebelum ini di SINI. Anak anak bising kenapa mama masak sikit sahaja rendang. Mereka dah beli semua bahagian paha dan thigh sahaja. 

Saya sebenarnya memang masak separuh sahaja dari yang dibeli kerana memikirkan tak mahu membazir kerana bila hari raya, ada lagi pelbagai menu lain. Lagi pula, esok saya boleh masak rendang lain pula. Mungkin rendang pedas ayam stail Perak yang sedap dimakan dengan lemang jagung. 

Bila anak anak dah semua kata tak cukup, rendang dah tinggal sedikit, jadi sebelah malam selepas berbuka puasa, saya merendang Rendang Pedas Ayam pulak. Tunggu saya akan update resipinya ya. 

Rendang ini memang sedap, rendang orang lama lama gitu. Semua bahan ditumbuk kasar sahaja. Kalau nak tahu macam mana sedapnya, kenalah cuba memasaknya sendiri. Beraya kan sebulan, hahaha betul tak? 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba......


Rendang Ayam Untuk Hidangan Raya
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan A:
2 ekor ayam - 1.7 kg ayam
½ kg santan segar
Rempah 3 sekawan
4 sudu besar cili kering kisar
1 ½ cawan minyak masak

Bahan B:
2 keping asam keping
½ keping gula Melaka - 80 gram
1 sudu besar garam
3 sudu besar kerisik
Serbuk perasa aji/serbuk pati ayam - jika suka

Bahan C:
1 helai daun kunyit - hiris

Bahan tumbuk:
2 inci halia - 30 gram
2 inci lengkuas - 20 gram
5 batang serai
2-3 biji bawang Holland - 500 gram
2 sudu besar biji ketumbar

Cara cara:
Hiris bahan tumbuk dan tumbuk kasar. Panaskan minyak dan tumis rempah 3 sekawan dan bahan tumbuk sehingga naik bau.


Masukkan cili kisar. Kacau rata sehingga cili agak agak masak dan terbit minyak.

Masukkan ayam. Kacau rata. Masukkan santan dan masak sehingga mendidih.

Masukkan semua bahan B. Masak sehingga kuah kering yang disukai.

Akhir sekali, masukkan daun kunyit. Kacau rata dan boleh tutup api.



Nota:
Boleh juga guna daging untuk jadikan Rendang Daging.



Catat Ulasan for "Rendang Ayam Untuk Hari Raya"