Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Mee Kuah Kelantan Yang Sangat Nostalgia



Setelah sekian lama teringin nak makan dan asyik tertangguh sahaja untuk membuatnya. Akhirnya hari ini saya menyediakan sendiri mee kuah. Ini adalah kerana masih dalam cuti raya jadi semua anak anak ada di rumah. Saya "craving" mee kuah yang pernah saya makan suatu ketika dahulu. Sangat sangat. Tapi kalau orang lain yang masakkkan lagi berselera. 

Saya tak pasti dengan orang lain. Rasanya mee kuah ini hanya digemari oleh anak Kelantan sahaja. Terutama orang lama macam kami. Orang muda sekarang dah tak kenal mee kuah ni lagi. 


Mee kuah ini mengingatkan peristiwa masa zaman persekolahan saya. Kerana tak nak mengaji Al Quran, saya berpura pura demam dan tidur. Dulu saya mengaji dengan arwah bapa saya. Dia sangat garang. Sekali 2 orang abang saya beli mee goreng dan mee kuah di Bachok. 

Ketika itu, kedua makanan seperti ini kategori makanan mewah lah. Kita makan mee goreng bodoh dalam dulang yang harga 20 sen sahaja. Saya dikejutkan untuk bangun makan. Tapi sebab konon tak sihat, jadi saya pun pura pura tak lalu makan. Tapi ianya sangat sedap dan jadikan saya teringat mee kuah itu sehingga kini. Sehingga kini, bayangkan lah.

Mee kuah ala ala mee sup di tempat lain adalah makanan yang sangat nostalgia buat saya. Di Kelantan pun dah susah untuk dapat mee kuah ini. Kebanyakan mee kuah dah jadi macam mee sup yang ada rasa macam tom yam kerana dimasukkan buah tomato, kadang batang saderi pun dimasukkan selain cili padi ketuk. Itu dah tak sama. Sekarang di Kelantan, banyak mee celup dan mee sup gerai tom yam. 

Mee kuah ni kalau nak sedap kena guna air rebusan daging. Bukan macam sup di gerai tom yam. Masuk air sebagai kuah di samping daging sedikit. Air rebusan daging yang direbus lama lama, baru terasa kemanisan air dagingnya. 

Berbaloi saya makan mee kuah ni dan hirup kuahnya sehingga licin. Hubby juga makan dan hirup kuahnya sehingga licin. Rasanya dia pun first time makan mee ni.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…


Mee Kuah Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 peket mee kuning
1 kg daging/tulang - rebus sehingga empuk
1 peket fishball
Sayur sawi - atau yang disukai
2-3 biji telur ayam
Cili merah/hijau - hiris
Bawang goreng
Daun sup - opsyenal
Minyak masak

Bahan lain:
2 ketul kiub daging
2-3 sudu besar kicap sotong - opsyenal
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar garam
Sedikit gula - jika suka

Bahan tumbuk kasar:
7 ulas bawang putih
4 biji bawang merah
1 sudu kecil lada hitam

Cara cara:
Rebus daging dengan air secukupnya sehingga daging empuk. Air rebusan akan dijadikan kuah.

Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga keperangan. Masukkan daging dan air rebusan daging untuk kuah. Kacau rata.

Setelah mendidih, masukkan kiub pati daging, garam, gula dan kicap sotong. Masak sehingga mendidih.

Akhir sekali, masukkan fishball dan sayuran. Kacau seketika sahaja. Tutup api.


Bila hendak dimakan, saya masukkan kuah dengan isinya ke dalam kuali lebih kecil, panaskan sehingga mendidih. Pecahkan telur dan masukkan mee kuning yang telah dibilas dengan air. Tutup api.

Tuang dalam mangkuk dan tabur bawang goreng. Nota: jika suka, boleh tabur cili hiris/cili jeruk.

Nota:
Jika makan serentak, boleh terus pecahkan telur sebiji sebiji. Bila telur separuh masak, tutup api. Masukkan mee kuning. Tabur daun sup dan bawang goreng.

Mee kuning boleh juga dicelur berasingan.

Saya tak letak cili dan daun sup kerana ingin rasa seperti mee kuah yang saya makan masa kecil dulu.


Catat Ulasan for "Mee Kuah Kelantan Yang Sangat Nostalgia"