Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuah Kacang Daging Signature Recipe Azie Kitchen



Alhamdulillah semalam saya dah dapat berpuasa sunat Syawal. Hari ni kerana hari minggu di mana semua anak anak dan cucu ada di rumah, maka saya tidak berpuasa. Insya Allah akan menyambungnya pada hari Isnin. 

Ganjaran berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal ni sangat besar. Ia merupakan peluang untuk menggandakan pahala selepas menjalani ibadah puasa Ramadhan. Meskipun hanya enam hari, pahalanya setara dengan berpuasa sepanjang tahun. Masya Allah.

Jadi jangan lah lepaskan. Kita pun ada masa selama sebulan untuk berpuasa kan. Sementara masih ada nyawa di badan, kita lakukan lah segala perintah Allah termasuk ibadah sunat. Setiap kebaikan dan amalan, kita yang akan mendapat ganjarannya di hari yang tiada lagi bergunanya harta dan wang ringgit. 

Kalau dah mati, tiada lagi peluang untuk beramal ibadah. Lihat kubur datuk nenek kita, berapa lama mereka telah berada di alam barzah. Lakukan muhasabah diri, bertafakur kerana hidup di dunia sangat singkat, alam barzah lagi lama dan alam akhirat pula kekal selamanya. 



Tahun ini urusan penyediaan kuah kacang dibuat oleh Nana. Saya hanya melihat dan membantu sekadar perlu sahaja. Dia yang memasukkan semua perasa secukupnya. Sukatan asal saya menggunakan cawan. Katanya susah pakai cawan ni, orang memasak pakai sudu jer. 

Serious sedap sangat kuah kacang ni. Lagi lagi kalau orang lain yang memasaknya. Resipi ini dah lebih 30 tahun saya belajar dan guna untuk setiap kali menyediakan kuah kacang. Selain menggunakan daging, sedap juga menggunakan ayam. 

Saya kali ini menggunakan nasi impit yang dibeli sahaja. Ingat nak masak menggunakan periuk tekanan Noxxa sahaja tapi memikirkan nasi impit ini mahu dibawa ke Shah Alam, jadi lebih mudah jika ianya dalam pek kecil kecil. Kalau nak tengok penyediaan nasi impit, boleh klik di SINI

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...


Kuah Kacang Daging
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
500 gram kacang tanah
1 kg daging
4 sudu besar cili kering kisar
1 sudu besar garam
125 gram gula Melaka - ½ keping
¾ cawan gula - 7-8 sudu besar
½ sudu kecil pes asam jawa
1 cawan minyak masak

Bahan kisar:
10 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
4 batang serai
1 inci halia
1 inci lengkuas

Cara cara:
Sangai kacang tanpa minyak sehingga masak dan keperangan. Buang kulit dan kisar dengan air sekadar boleh menggerakkan blender atau tumbuk. 

Masukkan air dan rebus kacang tumbuk sehingga air kering dan kacang kembang. Tutup api dan ketepikan. 

Dalam kuali lain, panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan sehingga naik bau. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak.

Masukkan daging dan air (jika daging belum direbus) dan kacan rata. Biarkan daging sebati dengan bahan tumisan. Masukkan gula, gula melaka dan semua bahan perasa.

Setelah mendidih, masukkan kacang tanah yang direbus tadi. Renih atas api sehingga kuah masak dan terbit minyak cantik. Boleh tutup api. Nota: setelah sejuk, kuah akan jadi pekat, jadi kena pastikan kuah tidak terlalu pekat ketika ditutup api.



Catat Ulasan for "Kuah Kacang Daging Signature Recipe Azie Kitchen"