Pajeri Terung Signature Recipe Azie Kitchen
Assalamualaikum semua. Apa khabar? Harap semua sihat walafiat dan dapat menjalani ibadah puasa dengan cemerlang. Haa sebelum itu, jangan lupa klik iklan yang keluar di blog saya tau. Kerjasama anda didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
Bulan Ramadhan ini adalah bulan ibadah di mana semua kebaikan dan amalan yang dibuat akan diberikan pahala yang berganda. Begitu juga dengan infaq dan sedekah. Ianya akan diberi pahala sehingga 70 sehingga 700 kali ganda.
Selain itu di bulan ini juga, pahala sunat yang dikerjakan seolah mendapat ganjaran pahala fardhu dan pahala fardhu akan digandakan sebanyak 70 kali ganda.
Jadi jangan lepaskan peluang untuk menambahkan amalan. Jangan ketinggalan untuk menambahkan bekalan. Kita tak tahu kalau Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir dalam hidup kita. Semoga bermanafaat.
Saya sangat suka makan pajeri lagi lagi kalau pajeri terung. Pajeri nenas pun OK tapi kena yang buah nenas dah masak. Baru lah tak masam. Ada orang guna nenas dalam tin untuk buat pajeri. Bertambah lah sedap kerana nenas tu memang dah manis.
Saya belajar resipi ini dari Wan Chu. Dulu kalau ke rumah mereka, mesti dimasaknya pajeri terung. Terung pulak menggunakan terung hijau. Tapi saya tak pernah pula jumpa terung hijau.
Masa kerja dulu, kalau makan tengahari di Medan Kupang, lauk yang saya pilih mesti sama jer setiap kali. Mesti ada pajeri terung, ikan cencaru sumbat dan telur masin. Tak pernah jemu jemu makan lauk ni.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….
Pajeri Terung Sedap Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
6-8 biji terung - belah 2 tak putus
50 gram rempah kari daging Babas - 4 sudu besar
3 sudu besar kerisik
300 ml santan segar
2 sudu kecil garam - guna 1 sudu kecil
3 sudu besar gula atau secukup rasa
½ cawan minyak
Bahan kisar:
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
2 sudu besar udang kering
Cara cara:
Tumis bahan kisar sehingga naik bau dan masukkan rempah kari kering (tak dibancuh dengan air) dan kacau rata cepat cepat.
Masukkan sedikit santan supaya tidak hangit dan kacau rata. Kemudian masukkan baki santan, garam, gula, serbuk perasa serta kerisik supaya kesemua sekali masak mesra. Renih sehingga betul betul terbit minyak.
Setelah hampir terbit minyak, masukkan terung dan sedikit air sehingga agak agak terung tenggelam sahaja.
Masak dengan api sederhana sehingga terung lembut dan kuah terbit minyak. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.
Nota:
Saya guna sedikit serbuk cili kerana serbuk kari ini tidak berwarna merah.
Catat Ulasan for "Pajeri Terung Signature Recipe Azie Kitchen"
Add your comment